Khamis, 26 Januari 2017 | 11:00am

PROTON ditauliah sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional

SHAH ALAM: Pengeluar kenderaan nasional, PROTON Holdings Bhd menerima pentauliahan sebagai pusat latihan sehenti bagi Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Pentauliahan itu diterima daripada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata selaras sasaran kerajaan untuk mentransformasikan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional, program SLDN adalah bukti komitmen pihaknya dalam menghasilkan lebih ramai pekerja berkemahiran.

"Sebagai pengeluar kereta nasional, tugas kami bukan saja untuk menghasilkan kereta tetapi juga sebagai tunggak kepada pembangunan negara.

"Tahun demi tahun, pertukaran teknologi bersama rakan kongsi strategik dan kerjasama teknikal dilihat sebagai pemangkin pembelajaran yang pantas kepada pekerja kami," katanya pada majlis pelancaran SLDN, di sini sebentar tadi.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Riot Anak Jaem.

Pada majlis yang sama turut berlangsung Majlis Graduasi Diploma Lanjutan Malaysia kepada 30 penerima.

Pendekatan SLDN disasarkan mengurangkan pengeluaran tenaga mahir yang tidak memenuhi kehendak semasa industri.

Sistem latihan itu juga memberi pendedahan kepada perintis situasi kerja yang sebenar.

Konsep latihan SLDN membabitkan latihan yang dijalankan di dua tempat iaitu di industri yang meliputi 70 peratus hingga 80 peratus dan di institusi latihan meliputi 20 peratus hingga 30 peratus.

Pendekatan latihan SLDN akan ditentukan industri bersama-sama pihak institusi latihan sama ada memilih pendekatan 'day release' atau 'block release' iaitu mengikut kesesuaian industri berkenaan.

27 dibaca
Berita Harian X