Khamis, 26 Januari 2017 | 12:36pm

Pengedar ganja dihukum mati, adik dan rakan bebas

IPOH: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah mengedar 4.5 kilogram ganja, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, adiknya dan seorang rakan mereka dilepas dan dibebaskan atas tuduhan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, SM Komathy Suppiah, membuat keputusan itu terhadap Muhammad Azhar Muhammad Zaini, 25, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Dua lagi tertuduh yang dilepas dan dibebaskan adalah adik Muhammad Azhar, Muhammad Naim, 23, dan Ahmad Asraf Mohd Nasir, 26.

MUHAMMAD Azhar Muhammad Zaini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah mengedar 4.5 kilogram ganja, dua tahun lalu. - Foto Muhaizan Yahya

Mereka dituduh mengedar 4,540 gram ganja di gerai makan No Lot 1042, Batu 19, Kuala Dal, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, jam 2 petang, 25 Ogos 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Berita Harian X