Khamis, 26 Januari 2017 | 1:12pm

9 lulusan politeknik perintis program KPT- INTI


MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto NSTP

BANDAR BARU NILAI: Seramai sembilan bekas pelajar politeknik menjadi perintis program kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Antarabangsa INTI di sini.

Melalui kerjasama itu, mereka yang sudah mempunyai diploma mengikuti pengajian peringkat ijazah di universiti swasta itu selama tiga tahun dalam bidang kejuruteraan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kerjasama menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik itu bukan perkara baharu, tetapi buat kali pertama membabitkan sektor industri, iaitu Gamuda Berhad.

Katanya, Gamuda bukan sahaja menyediakan biasiswa kepada pelajar berkenaan, malah mereka diberi peluang untuk bekerja dengan syarikat itu.

"Peluang ini akan memberi akses kepada lulusan diploma politeknik menyambung pengajian di universiti swasta yang mempunyai pelajar dari seluruh dunia serta mendapat bimbingan pensyarah tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama itu antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Antarabangsa INTI di sini, hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, manakala Universiti Antarabangsa INTI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej dan Universiti Antarabangsa INTI, Tim Bulow.

Idris berkata, kerjasama itu juga adalah langkah penting untuk memastikan kemajuan negara, terutama dalam bidang kejuruteraan.

Berita Harian X