Khamis, 26 Januari 2017 | 3:11pm

Mangsa banjir di Johor menurun


PEMILIK rumah, Yap Tian Her (kiri) bersama cucunya, Lau Kar How membersihkan kediaman mereka yang ditenggelami air akibat banjir bagi persiapan menjelang Tahun Baru Cina di Jalan Genuang, Segamat. - Foto Adi Safri

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan kepada 7,224 mangsa daripada 2,079 keluarga yang ditempatkan di 67 pusat pemindahan sementara, berbanding 8,130 mangsa yang dipindahkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, sehingga jam 2 petang ini, sebanyak empat pusat pemindahan di daerah ini, Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi sudah ditutup.

Katanya, daerah Segamat yang sebelum ini mencatatkan peningkatan bilangan mangsa tertinggi juga mulai menurun apabila seramai 5,273 mangsa daripada 1,579 keluarga masih ditempatkan di 48 pusat pemindahan.

"Seramai 1,537 mangsa daripada 392 keluarga di daerah Tangkak ditempatkan di 12 pusat pemindahan, manakala jumlah mangsa banjir di Kluang menurun kepada 195 mangsa daripada 51 keluarga.

"Di Muar, seramai 219 orang daripada 57 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan FELCRA Bukit Kepong di Muar dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah di Segamat, ditutup susulan keadaan paras air yang agak tinggi.

Selain itu katanya, empat laluan ditutup di Segamat iaitu di FELDA Redong (tutup satu lorong), Jalan Tunku 3 di Kampung Tengah, Jalan Pogoh -Tekam dan Jalan Kuala Paya - Balai Badang.

Katanya, jalan yang ditutup di Kluang ialah Jalan Kampung Orang Asli Berasan, Jalan Kampung Orang Asli Sedohok, Jalan Kampung Orang Asli Air Pasir/Kuala Sengka dan Ladang Mutiara.

Beliau berkata, jambatan di Jalan Kampung Sungai Pinggan, Pontian juga ditutup, manakala Jalan Muar - Labis ditutup kepada kenderaan ringan.

90 dibaca
Berita Harian X