Khamis, 26 Januari 2017 | 4:30pm

Pembantu rumah disyaki bunuh majikan ditahan polis


SULAIMAN (kanan) menunjukkan barang milik suspek yang ditemui dalam kejadian kes bunuh di Taman Suria ketika sidang media di IPD Johor Bahru Selatan (JBS), Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat majikannya di Taman Suria, di sini, semalam.

Suspek berusia 30 tahun yang berasal dari Batam itu dipercayai baru lapan hari bekerja di kediaman mangsa sebagai pembantu rumah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata kira-kira jam 2 petang, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan suspek di Jalan Suria 14, di sini dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di kepala dan pipi kiri.

"Hasil soal siasat yang dijalankan kemudian mendapati keterangan diberikan wanita itu amat meragukan selain sering bertukar-tukar kenyataan.

"Polis juga menemui pelbagai barangan seperti komputer riba, dompet, telefon bimbit, rantai emas dan satu kad pengenalan milik orang lain dalam sebuah beg galas yang dibawa suspek.

"Susulan penemuan kad pengenalan itu, polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Jalan Suria 2, di sini sebelum menemui mayat seorang wanita di bilik tidur tingkat atas dalam keadaan berlumuran darah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan pada mayat mangsa iaitu wanita berusia 59 tahun mendapati terdapat kesan luka di kepala dan muka.

"Polis juga menemui satu pisau pemotong sayur yang masih tertusuk di bahagian perut kanan dan mangsa dipercayai mati akibat kecederaan parah.

"Mangsa mengusahakan perniagaan pusat karaoke di Taman Pelangi di sini, dan polis juga mendapati suspek mempunyai permit kerja yang sah," katanya.

Sulaiman berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku pertengkaran dan pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum kejadian itu berlaku.

"Pemeriksaan dalam rumah juga menemui satu buku nota dipercayai milik suspek yang tercatat 'tidak puas hati bekerja dengan majikan ini'," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk dibedah siasat, manakala suspek turut menerima rawatan di hospital sama.

Sulaiman berkata, suspek ditahan reman sehingga 1 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

309 dibaca
Berita Harian X