Khamis, 26 Januari 2017 | 4:38pm

ECER atasi sasaran pelaburan 2016 RM13.5 bilion

JOHOR BAHRU: Cabaran persekitaran ekonomi global tidak menghalang Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik pelaburan swasta berjumlah RM13.5 bilion pada tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran pelaburan yang ditetapkan untuk 2016 iaitu RM12 bilion.

Jumlah itu menjadikan pelaburan swasta yang dibawa masuk ke ECER sehingga akhir tahun lalu mencecah RM101.0 bilion iaitu merangkumi 91.8 peratus daripada sasaran pelaburan sebanyak RM110 bilion menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata pencapaian yang memberangsangkan itu mencerminkan prestasi cemerlang dalam usaha transformasi sosio ekonomi di wilayah terbabit.


KETUA Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John. - Foto Abdullah Yusof

Katanya, pertumbuhan pesat yang dicapai ECER juga meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat, di mana lebih 130,000 peluang pekerjaan dihasilkan dan 23,000 usahawan dilahirkan.

"Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat terutamanya mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan B40 di kawasan bandar dan luar bandar di ECER, malah membuktikan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang perbezaan dan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi wilayah di Malaysia.

"Agenda Transformasi di ECER menunjukkan keputusan positif di mana wilayah ini berjaya melepasi sasaran pelaburan swasta yang ditetapkan. Hasilnya, rakyat kini menikmati manfaat menerusi lebih banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan dan peluang keusahawanan yang lebih baik.

"Sejak tahun 2008, wilayah ini mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun sebanyak 30 peratus bagi pelaburan swasta dan 37 peratus peluang pekerjaan. Kita yakin ECER akan terus melangkaui sasaran pelaburan tahunan menerusi gabungan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jebasingam berkata, sejak 2008, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.2 bilion bagi menambah baik prasarana awam, menggalakkan pelaburan dan meningkatkan pembangunan modal insan, manakala dalam Bajet 2017, kerajaan meluluskan 34 projek dan program berimpak tinggi bagi merancakkan lagi transformasi sosioekonomi di wilayah itu.

Katanya, berdasarkan pencapaian ECER setakat ini, pihaknya yakin wilayah terbabit berada di kedudukan yang kukuh untuk merancakkan lagi pembangunan sosioekonominya.

Selain itu katanya, pihaknya juga sedang menilai semula Pelan Induk ECER bagi memastikan strategi dan usaha selari dengan transformasi ke arah matlamat 2020 dan seterusnya.

"Penilaian ini akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan sektor ekonomi ECER agar mampu mengambil kesempatan daripada peluang baharu yang ada, hasil integrasi melalui rangkaian perdagangan serantau dan global.

"Langkah ini juga selaras dengan objektif kami untuk menangani ketidakseimbangan yang wujud antara wilayah di negara ini serta meningkatkan taraf hidup rakyat di koridor ini," katanya.

Berita Harian X