Khamis, 26 Januari 2017 | 5:50pm

Faiz Subri taruhan Pulau Pinang temui Perak

PEMAIN Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri (kiri) diasak pemain Nagaworld FC dari Kemboja pada perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Skuad Pulau Pinang mengharapkan tiga mata penuh di halaman sendiri dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Negeri Batu Kawan esok, untuk menebus kekecewaan tumpas pada aksi sulung menentang Selangor di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood berkata, pasukannya dijangka berdepan tugas getir kerana beraksi tanpa penyerang import dari Papua New Guinea, Nigel Dabingyaba, yang belum pulih daripada kecederaan hamstring ketika membantu skuad Harimau Kumbang mengharungi perlawanan persahabatan sebelum ini.

Westwood berkata, ketiadaan Dabingyaba memaksanya menggunakan taktikal berbeza dengan bergantung kepada kombinasi penyerang tempatan yang diharap mampu membolosi gawang Perak.

"Sehari selepas perlawanan pertama tempoh hari, kami terus menjalani sesi latihan untuk memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.

"Memang ada pemain cedera, tetapi masih ada pemain lain mampu menggantikan tempat Dabingyaba untuk memberi saingan sengit, seterusnya menggegar gawang apabila menentang Perak nanti," katanya ketika ditemui di Stadium Bandaraya di sini, hari ini.

Menurut Westwoood, pemain perlu ada rasa ghairah dan semangat tinggi untuk menghadapi perlawanan kedua malam esok, sama seperti ketika berdepan Selangor kerana Pulau Pinang menguasai 61 peratus hantaran bola tetapi gagal mengimbangi corak pantas lawan.

"Kita menjangkakan S Kumaahran akan digandingkan dengan pemenang Anugerah Puskas Persatuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mohd Faiz Subri dan Syameer Kutty Abba untuk merobek pintu gol pelawat.

"Sukar menjanjikan tiga mata penuh tetapi kami boleh berusaha mencapai keputusan positif sekiranya pemain tidak leka ketika berada di atas padang," katanya.

Mulai musim ini, Stadium Negeri Pulau Pinang (SNPP) Batu Kawan, akan dijadikan gelanggang rasmi skuad Harimau Kumbang setelah sekian lama ia tidak digunakan untuk perlawanan kompetitif.

Berita Harian X