Khamis, 26 Januari 2017 | 8:05pm

Bot karam: Lapan lagi mayat ditemui


MAYAT lapan lelaki dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Isnin lalu ditemui di perairan Teluk Ramunia pagi tadi dan dibawa ke Jeti APMM Pengerang sebelum diserahkan kepada polis. - Foto ihsan APMM

MERSING: Lapan lagi mayat lelaki dipercayai mangsa tragedi bot pancung karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Isnin lalu ditemui pagi tadi, menjadikan setakat ini 24 mayat ditemui. 

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata mayat itu ditemui terapung di perairan Teluk Ramunia, dekat sini kira-kira jam 9 pagi. 

"Sebuah kapal dagang yang berada di perairan berkenaan pagi tadi, memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung penemuan mayat berkenaan. 

"Semua mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini, untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Isnin lalu, 10 mayat PATI, masing-masing empat lelaki dan enam perempuan, ditemui terdampar di Pantai Tanjung Rhu, dekat sini kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian bot pancung karam, manakala dua lagi ditemui selamat pada hari yang sama.  

Bot yang membawa 40 PATI warga Indonesia itu dipercayai berlepas dari Batam pada jam 8 malam pada Ahad, sebelum terbalik dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Rhu kira-kira jam 4.30 pagi esoknya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini membabitkan dari perairan Tanjung Sedili hingga Teluk Ramunia dengan keluasan pencarian dianggarkan sejauh 60 batu nautika. 

Katanya, SAR mencari baki mangsa bot karam ditamatkan hari ini dan sekiranya terdapat penemuan baru mangsa tragedi berkenaan maka operasi SAR akan diaktifkan semula.

Berita Harian X