Khamis, 26 Januari 2017 | 8:42pm

Kewangan TH kukuh, simpanan pendeposit terjamin

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyifatkan pelbagai serangan pihak tertentu sejak kebelakangan ini bermotifkan politik, tidak tepat dan boleh memberi kesan kepada pendeposit.

TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu yang bertopengkan pendekatan melindungi masyarakat, adalah gimik politik semata-mata dan mencerminkan kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai konsep simpanan berlandaskan syariah.

"Kami tidak akan membenarkan organisasi ini dipaksa memberi penjelasan berulang kali dan menghabiskan masa mempertahankan kedudukan atas serangan negatif yang tidak tepat dan berasaskan analisa cetek.

"Tanggungjawab TH jauh lebih besar terhadap pendeposit kami iaitu memastikan pengurusan haji dan dana dilaksanakan dengan berkesan melalui tadbir urus korporat dan amalan perniagaan yang baik," katanya.

Difahamkan, kenyataan itu merujuk kepada serangan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kelmarin yang mendakwa TH menanggung kerugian RM700 juta disebabkan pelaburannya dalam industri minyak dan gas.

Rafizi mendakwa, TH tidak sepatutnya melabur dalam industri minyak dan gas yang tidak menentu kerana dananya adalah dari hasil titik peluh jemaah haji.

Menurut kenyataan itu lagi, TH mencatat prestasi kewangan yang menguntungkan setiap tahun walaupun terdapat kerugian beberapa kaunter pelaburan.

"Malangnya ramai yang terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang sentiasa menonjolkan pelaburan TH yang kurang mapan dan menolak pelaburan lain yang membawa keuntungan.

"TH ingin menegaskan sekali lagi bahawa kedudukan kewangannya kekal kukuh dan simpanan pendeposit terjamin mengikut konsep Al Wadiah Yad Dhamanah seperti yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji," katanya.

Mengenai pelaburan dalam industri minyak dan gas, TH berkata pihaknya sudah mengambil langkah berhemat walaupun industri itu melalui kegawatan serius di peringkat global sejak 2015.

Katanya, pelaburan dalam industri itu mencatat pendapatan terkumpul sebanyak RM1.06 bilion dengan kebanyakan pelaburan dibuat dalam syarikat kukuh dan berdaya maju milik Bumiputera tempatan sejak 2001.

77 dibaca
Berita Harian X