Khamis, 26 Januari 2017 | 10:22pm

Terbuka Australia: Seperti cerita lama, Federer melangkah ke final

ROGER Federer muncul pemenang perlawanan lima set mendebarkan ketika berdepan rakan senegara Stan Wawrinka sebentar tadi, utuk menjadi pemain tertua muncul di pentas final kejohanan Grand Slam sejak 43 tahun.

MELBOURNE: Roger Federer muncul pemenang perlawanan lima set mendebarkan ketika berdepan rakan senegara Stan Wawrinka sebentar tadi, utuk menjadi pemain tertua muncul di pentas final kejohanan Grand Slam sejak 43 tahun.

Juara grand slam 17 kali itu menewaskan pemain nombor 4 dunia Wawrinka, 7-5, 6-3, 1-6, 4-6, 6-3 dalam pertarungan tiga jam lima minit dan akan berdepan sama ada pemain Sepanyol, Rafael Nadal atau Grigor Dimitrov di final.

Ia adalah pentas keenam Federer, 35, di perlawanan akhir Terbuka Australia dan ke-28 final dalam kejohanan grand slam, serta mempamer kebangkitan manis selepas dibelenggu kecederaan lutut pada tahun lalu.

Jura Terbuka Australia empat kali itu menjadi pemain tertua melangkah ke final grand slam sejak pemain Australia, Ken Rosewall (39 tahun 310 hari) melakukannya di Terbuka AS 1974.

Ia turut memperbaiki rekodnya dalam perlawanan lima set kepada 26-20 dan kali pertama legenda Switzerland itu dapat menewaskan tiga pemain ranking 10 teratas dalam laluan ke final grand slam, selepas turut menyingkirkan Tomas Berdych dan Kei Nishikori.

"Ya, ia satu kenyataan. Saya boleh berbicara mengenai perlawanan akhir semula," kata Federer sejurus tamat permainan.

"Saya cuba mengelak untuk bercakap mengenainya sejak beberapa hari lalu, hanya mengenai perlawanan seterusnya tetapi ini adalah yang terakhir.

"Jadi saya akan cuba yang terbaik di Australia ini dan (kalaupun) saya tidak boleh berjalan untuk lima bulan lagi, saya akan cuba berikan yang terbaik."

Federer berkata, dia berasakan akan tewas pada set keempat tetapi menemui senjata untuk mengekang cabaran Wawrinka.

"Pada set kelima, saya tahu saya mendapat tenaga semula, bermain dengan garang, lebih agresif, memukul bola lebih awal, percaya kepada diri sendiri, melakukan servis dengan baik, cuba mengelak risiko berbanding seperti sebelumnya.

"Memang agak pelik. Selalunya apabila bertemu Stan, memang tidak pernah mudah. Terutama di set ketiga dan keempat kerana dia mempunyai kelebihan di garisan belakang," kata Federer.

Wawrinka yang menewaskan Nadal di final Terbuka Australia 2014, mengintai aksi final keempat grand slam dan kedua di Melbourne. - AFP

Berita Harian X