Jumaat, 27 Januari 2017 | 4:56pm

Madeline Albright sedia daftar sebagai orang Islam


BEKAS Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Madeleine Albright. - Foto Makers

WASHINGTON: Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Madeleine Albright, menegaskan beliau bersedia "mendaftar sebagai orang Islam" sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Islam di negara itu.

Kenyataan itu muncul di tengah-tengah laporan bahawa Presiden Donald Trump akan menguatkuasakan undang-undang mewajibkan penduduk Islam di Amerika Syarikat mendaftar di bawah satu pangkalan data.

Minggu lalu, ikon feminis, Gloria Steinem, juga menyatakan kesediaannya mendaftar sebagai orang Islam jika pendaftaran seperti itu diperlukan.

"Jika anda memaksa penduduk Islam mendaftar, kami semua akan mendaftar sebagai umat Islam," kata Steinem ketika berucap pada Perarakan Wanita di Washington Sabtu lalu.

Pada kempen pilihan raya presiden tahun lalu, Trump menggesa larangan sementara terhadap orang Islam yang ingin berkunjung ke AS.

Beliau juga dilaporkan mahu mewujudkan pangkalan data mengandungi semua maklumat penduduk Islam di negara itu.

Draf arahan eksekutif yang diperoleh baru-baru ini menunjukkan Trump berhasrat berhenti daripada menerima pelarian Syria dan menggantung program pelarian selama 120 hari.

Beliau juga bercadang menggantung pengeluaran visa kepada penduduk tujuh negara Islam iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria atau Yaman selama sekurang-kurangnya 30 hari. - Agensi

Berita Harian X