Jumaat, 27 Januari 2017 | 4:58pm

Satu lorong Jalan Raya Timur Barat masih ditutup

SATU lorong laluan di Seksyen 198, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dilitupi tanah runtuh berikutan kejadian runtuhan tebing cerun pagi tadi. - Foto Ihsan JKR

IPOH: Satu lorong di laluan Seksyen 198, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang terjejas akibat runtuhan tebing cerun pagi tadi, belum boleh dilalui kenderaan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Perak berkata, lorong berkenaan dijangka hanya dapat dibuka semula selepas siasatan lanjut dilakukan dan kerja pembaikan kekal dilakukan di kawasan runtuhan berkeluasan 25 meter panjang dan 50 meter lebar.

Beliau berkata, justeru kenderaan yang melalui laluan berkenaan dari kedua-dua arah terpaksa bergilir-gilir melalui satu lorong yang masih dibuka.

Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh anggota bomba yang menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

"Kita membuat Pelan Pengurusan Trafik termasuk meletakkan kon dan mengurus aliran trafik yang terpaksa bergilir-gilir berikutan laluan itu kini hanya dibuka satu lorong sahaja.

"Kerja-kerja pembersihan awal dilakukan di kawasan cerun runtuh berkenaan pagi tadi dan petang ini, pihak konsesi iaitu Belati Wangsa Sdn Bhd (BWSB) yang menyelenggara JRTB akan membawa jentera ke lokasi bagi membersihkan sisa runtuhan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, lorong yang ditutup memerlukan masa untuk dibuka semula berikutan kerja pembaikan kekal perlu dilakukan terlebih dahulu.

Ditanya mengenai viral aliran trafik terkandas di satu lagi lokasi di JRTB, jurucakap JKR itu berkata ia membabitkan satu lagi kawasan cerun runtuh namun bukan di daerah Gerik sebaliknya daerah Jeli, Kelantan.

Berita Harian X