Jumaat, 27 Januari 2017 | 8:06pm
KERJA membersihkan runtuhan cerun sehingga menghalang satu lorong di Seksyen 189 JRTB sedang dijalankan. Lorong terhalang dijangka dibuka semula kepada kenderaan esok. - Foto Ihsan pembaca

Cerun runtuh: Laluan terhalang dibuka semula esok

GERIK: Satu lorong di Seksyen 189 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang tidak boleh dilalui kenderaan dijangka dibuka semula esok.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Jamilol Nasir Saad, berkata kerja-kerja pembersihan awal masih dijalankan pihak kontraktor JKR di lokasi kejadian bagi membolehkan laluan itu digunakan orang awam seperti biasa.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menanti ketibaan jentera JKR dan syarikat penyelenggara Belati Wangsa Sdn Bhd (BWSB) bagi membolehkan kerja pembersihan tanah dilakukan.

"Kita akan menjalankan kerja pembersihan hari ini juga sebelum kerja pembaikan cerun kekal dijalankan di lokasi kejadian supaya tidak berlaku lagi cerun runtuh.

"Kerja-kerja pembaikan itu memakan sedikit masa berikutan jarak lokasi cerun runtuh dan jalan raya terlalu hampir namun kita akan memastikan laluan berkenaan (satu lorong yang ditutup) dibuka semula esok," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, dua jentera termasuk satu milik JKR dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja pembersihan dan pembaikan cerun.

Berita Harian X