Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:41pm

Coca-Cola kukuhkan kerjasama dengan Wendy's

KUALA LUMPUR: Coca-Cola Malaysia meneruskan kerjasama dengan Wendy's dalam penyediaan jenama minuman terkenal itu di 10 rangkaian restoran makanan segera Wendy's seluruh Malaysia melalui perjanjian yang diperbaharui bagi tempoh tiga tahun berakhir pada 31 Disember 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group Singapura, Malaysia dan Brunei, Stephen Lusk, berkata sebelum ini, kedua-dua syarikat berkenaan sudah memeterai perjanjian sama untuk tempoh lima tahun pada tahun 2012.

"Dengan kerjasama itu, pelanggan Wendy's akan terus menikmati minuman kegemaran ramai itu seperti Coca-Cola, Coke Zero, Sprite, Fanta Grape, Heaven and Earth Ice Lemon Tea dan Minute Maid Refresh sambil menjamu selera dengan hidangan burger mengasyikkan di rangkaian restoran Wendy's yang cukup terkenal.

"Di Wendy's, pelanggan akan dapat menikmati hidangan burger hebat yang mana rasanya sudah semestinya lebih menggiurkan apabila disulam dengan minuman segar Coca-Cola," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Operasi Wendy's Malaysia dikendalikan Wen Berjaya Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Berjaya Sdn Bhd. Restoran pertamanya dibuka di pusat beli belah Sunway Pyramid, Selangor, pada 5 April 2008.

Rangkaian restoran Wendy's di Lembah Klang bertempat di Sunway Pyramid, Atria, Jaya One, Mont' Kiara, Berjaya Times Square, Suria KLCC, [email protected] dan D'Pulze, Cyberjaya; manakala di Pulau Pinang bertempat di Menara Sunrise dan Design Village di Batu Kawan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Berjaya Food Bhd, Sydney Quays, berkata pihaknya sangat teruja dengan kerjasama yang berterusan itu dan akan berusaha memperkukuhkan kedua-dua jenama bagi memberikan pelanggan mereka kualiti dan perkhidmatan terbaik.

Sejak tahun 2010, syarikat Coca-Cola sudah melabur lebih daripada RM1 bilion di Malaysia, sekali gus mewujudkan 800 lebih peluang pekerjaan dalam usaha memuaskan selera 75,000 pelanggan secara langsung, menjangkau 200,000 pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Melalui pelbagai program dan inisiatif usaha sama, Coca-Cola Malaysia berhasrat membawa perubahan positif yang berkekalan kepada komuniti tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, Coca-Cola juga komited untuk membina komuniti mampan di Malaysia dan ia dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Malaysia dalam mempromosikan gaya hidup cergas.

"Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Raleigh International dan Muslim Aid Malaysia untuk membekalkan air bersih kepada lebih 20,000 penduduk luar bandar di Sabah dan program SURI bagi meningkatkan daya keusahawanan dalam kalangan wanita Malaysia Timur," katanya.

INFO:

- Syarikat Coca-Cola di Malaysia mengeluar, memasar dan mengedarkan 80 lebih produk.

- Coca-Cola Company adalah syarikat minuman terbesar di dunia dan memiliki lebih 500 jenama minuman berkarbonat serta tanpa karbonat

- Restoran Wendy's pertama dibuka pada tahun 1969 di Columbus Ohio.

- Wendy's digunakan sempena nama seorang daripada lima anak pengasasnya, Dave Thomas

Berita Harian X