Ahad, 24 Ogos 2014 | 6:27pm
DATUK Seri Salleh Mat Rasid merasmikan Kompleks Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM), Semporna. - Foto Norasikin Daineh

Penstrukturan semula Polis Marin - Salleh

SEMPORNA: Penstrukturan semula Polis Marin sedang dilaksanakan bagi memantapkan lagi sistem 'arahan dan kawalan", kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Katanya, penstrukturan semula itu termasuk memperkukuhkan penugasan dalam sistem 'arahan dan kawalan' yang melibatkan peringkat ibu pejabat, markas wilayah, markas operasi dan markas taktikal Polis Marin.

"Penstrukturan berkenaan juga meliputi penarafan semula perjawatan bot ronda sedia ada dan yang baharu serta membuat penambahan anggota di tempat-tempat yang strategik terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.

"Selain itu Polis Marin juga akan membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam penyelarasan operasi bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Semporna, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander ESSCom, Datuk Abdul Rashid Harun.

Salleh berkata kerajaan juga telah memutuskan Polis Marin berkuasa menjalankan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang dan tugas kepolisan di perairan negara tanpa had dan jarak rondaan.

Justeru, kataya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membeli bot kecil berkelajuan tinggi untuk kegunaan pasuka Marin dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan di perairan negara.

Sementara itu, Salleh berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan polis di negara ini termasuk menjaga aspek kebajikan warga polis.

Katanya, kerajaan sentiasa memastikan premis, jentera, peralatan dan kelengkapan anggota polis berada dalam keadaan terbaik mengikut peredaran masa.

"Projek bangunan baharu Markas Operasi Polis Marin Semporna ini juga merupakan sebahagian usaha kerajaan dan ia telah membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi keberkesan pasukan polis dalam memberi khidmat kepada rakyat.

"Oleh itu, saya berharap dengan adanya bangunan baharu markas operasi ini, pegawai dan anggota di sini dapat menjalankan tugas dengan baik serta meningkatkan lagi prestasi masing-masing," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X