Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:08am

Ironman Temerloh buat kerja amal

TEMERLOH: Bukan mudah untuk menarik kanak-kanak untuk datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana mereka begitu takut menemui doktor, lebih-lebih lagi apabila melihat jarum suntikan.

Bagaimanapun, bagi kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Mohd Faizal Muda mempunyai kreativiti tersendiri dengan memakai kostum lengkap adiwira, Ironman sambil menanti pesakit pediatrik di lobi hospital.

Mohd Faizal yang bertugas di Unit Pendidikan Pesakit HOSHAS berkata, watak super hero Ironman menjadi pilihan kerana ia berbeza dengan karakter super hero yang lain.

"Saya ada membuat kajian sedikit mengenai adiwira kesukaan kanak-kanak dan mereka amat menggemari Ironman, jadi saya pun bertanyakan rakan-rakan jika ada di jual di Malaysia.

"Pembekal kostum ini saya temui selepas melakukan carian di internet dan hasil perkongsian dalam kumpulan dikenali 'The Ultimate Cosplayer' yang terdiri daripada peminat kostum superhero di ibu negara.

MOHD Faizal memakai sut adiwira Iron Man bersama murid-murid di Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia, Temerloh.

WATAK super hero Ironman menjadi pilihan Mohd Faizal kerana ia berbeza dengan karakter super hero yang lain. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Memandang pembekal berkenaan di Filipina, segala urusan dilakukan menerusi talian telefon. Selepas memperoleh saiz ukuran badan termasuk ukur lilit kepala, pembekal terbabit cuba menyiapkan pesanan saya.

"Alhamdulilah selepas 30 hari, kostum berkenaan berjaya disiapkan dan saya begitu teruja apabila melihat foto hasil kerjanya yang dihantar menerusi whatsapp," katanya kepada BH Plus

Untuk kostum Ironman berkenaan, Mohd Faizal terpaksa membelanjakan kira-kira RM3,000 termasuk harga pos laju.

Beliau turut menafikan bahawa kostum Ironman itu digunakan untuk meraih populariti daripada penggemar filem Hollywood dan penduduk setempat.

"Saya membeli dan memakainya lebih kepada kepuasan diri sendiri. Lagipun, saya pakai kostum ini untuk melakukan kerja amal dengan kerjasama pentadbiran sekolah sekitar Temerloh dan sekitarnya. Namun, ia bergantung juga dengan jadual kerja saya di HOSHAS.

"Saya sering memenuhi jemputan pihak sekolah untuk meraikan pelajar baharu atau jika ada aktiviti yang memerlukan ramai murid hadir ke sekolah. Apabila saya ke sana dengan kostum Ironman, ia menjadi daya penarik untuk mereka (murid) datang ke sekolah," katanya.

MOHD Faizal (kiri) dibantu rakannya memakai sut adiwira Iron Man. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Mengimbau pembabitannya, Mohd Faizal berkata, pada awalnya sekadar mengubah suai kereta dengan menampal pelbagai pelekat, termasuk Ironman.

"Minat terhadap ubah suai ini bermula lima tahun lalu dan sehingga kini sudah membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk menghias kereta PROTON Wira Aeroback milik saya.

"Dua tahun lalu, saya mula terfikir untuk cuba membuat kelainan, bermula dari dan dari situ, saya mula membuat penyelidikan di internet. Apabila melihat watak Ironman, saya tertarik dan menjadikannya sebahagian daripada identiti.

"Kerana kelainan itu juga, saya dilantik sebagai duta produk minyak pelincir dan rawatan enjin jenama Aerorev, produk pencuci karbon dalam enjin jenama Zero Carbon dan Sticker Boss.

"Kereta saya penuh dengan pelekat produk berkenaan dan aktif menyertai pameran auto di seluruh negara. Paling gembira pernah memenangi kira-kira 30 pertandingan disertai sepanjang menyertai pameran auto sejak tahun 2011," katanya.

INFO

  • Membelanjakan RM5,000 untuk hias kereta dengan watak Ironman
  • Menempah kostum Ironman dari Filipina berharga RM3,000
  • Membuat penampilan di sekolah sekitar daerah Temerloh dan daerah berhampiran setiap kali sekolah mula dibuka dan jika ada aktiviti berkaitan
  • Watak Ironman ialah seorang adiwira buku komik cereka Marvel Comics.
MOHD Faizal memakai kostum Iron Man kerana melakukan kerja amal dengan kerjasama pentadbiran sekolah sekitar Temerloh dan sekitarnya. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MOHD Faizal membelanjakan kira-kira RM3,000 termasuk harga pos laju untuk kostum Iron Man. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X