Sabtu, 28 Januari 2017 | 8:30am

Peugeot 208, 2008 Puretech cetus revolusi baharu


SUV Puretech dilengkapi enjin cekap tenaga yang amat menjimatkan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot di Malaysia membuka tirai tahun 2017 dengan memperkenalkan dua model baharu Peugeot 208 dan 2008 Puretech minggu lalu.

Kedua-dua model terdiri daripada hatchback kompak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) menerima sentuhan terkini yang lebih moden, bergaya dan ranggi.

Malah, kedua-dua jentera itu menggunakan enjin baharu 1.2L Puretech yang lebih kecil tetapi berkuasa serta menjimatkan bahan api.

Lebih menarik, enjin terbaharu ini hanya mencatatkan bacaan penggunaan 4.2 liter bahan api untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km) berbanding enjin konvensional 1.6L yang memerlukan 6.7 liter bahan api untuk meliputi jarak sama.

Tidak mahu ketinggalan dari segi teknologi kejuruteraan, Peugeot tampil dengan enjin Puretech, jentera yang berjaya memenangi anugerah Enjin Antarabangsa 2015 dan 2016 serta yang terbaik dalam kecekapan prestasi.

Ia termasuk keupayaan bergerak sejauh 1,190 km dengan isian satu tangki penuh, sekali gus menjadikan ia sangat cekap untuk mereka yang sentiasa mementingkan penggunaan bahan api apabila ingin membeli kenderaan.


MODEL kompak hatchback menggunakan enjin Puretech sama dengan model SUV. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Peugeot 208 Puretech dipadankan dengan enjin 1.2 liter Puretech baharu berkeupayaan 112PS manakala tork maksimum setinggi 205Nm pada 1,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Aisin.

Ciri luaran 208 membabitkan beberapa perubahan gril dan bampar bersama perumah lampu utama dwi-tona, manakala bahagian belakang pula menyaksikan, model ini menerima padanan kluster lampu LED penuh dengan motif cakaran 'singa' yang menonjol.

Sementara itu, Peugeot 2008 Puretech SUV adalah kenderaan urban lasak yang menggunakan nadi sama seperti 208 Puretech.

Rekaan luaran juga dipertingkatkan termasuk gril hadapan melintang baharu bersama perumah lampu utama.

Jentera berkenaan menerima sentuhan sambungan gerbang roda hitam dipertingkatkan bagi menambah lagi gaya moden rekaan Perancis manakala ruangan kokpit kedua-dua model pula mengaplikasikan rekaan i-Cockpit yang ringkas dan tampak premium.

Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata pihaknya yakin dua model terbaru ini mampu memikat hati pengguna dengan rekaan yang ekslusif, versatil dan mencerminkan karisma sinonim Peugeot.


REKAAN menarik, mesra alam dan jimat bahan api. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Kami menyasarkan jualan model 208 Puretech sebanyak 2,500 unit manakala 2008 Puretech sebanyak 1,100 untuk tahun ini.

"Sempena pelancaran ini, kami memberikan tawaran hebat kepada 100 pelanggan pertama iaitu jaminan selama lima tahun dan tiga tahun servis kereta percuma," katanya ketika majlis pelancaran dua model itu di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Kedua-duanya ditawarkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau perbatuan 120,000 km (yang mana tiba terlebih dulu) bagi menggantikan jaminan pengeluar tiga tahun dan dua tahun perlindungan insurans.

Ia juga ditawarkan dengan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi 100 unit tempahan pertama.

Info:
Peugoet 208 Puretech

* Harga atas jalan RM89,888

* Enjin 1,199cc Puretech 6-kelajuan automatik dengan Teknologi Quickshift; Suntikan bahan api terus, pengecas turbo, 3-silinder sebaris, DOHC 12 valve VTi

* 112PS @ 5,500 rpm, 205 Nm dari 1,500 rpm

* Teknologi Start/Stop

* Kelajuan maksimum 190 km/j

* Pilihan warna : 'Digital White', 'Virtual Blue', 'Nera Black', 'Atomic Orange' dan 'Rouge Red'

Peugeot 2008 SUV Puretech

* Harga atas jalan RM109,888

* Enjin 1,199cc Puretech 6-kelajuan automatik dengan Teknologi Quickshift; Suntikan bahan api terus, pengecas turbo, 3-silinder sebaris, DOHC 12 valve VTi

* 112PS @ 5,500 rpm, 205 Nm dari 1,500 rpm

* Teknologi Start/Stop

* Kelajuan maksimum 190 km/j

* Pilihan warna: 'Digital White', 'Ultimate Red', 'Emerald' dan 'Artense Grey'

Berita Harian X