Sabtu, 28 Januari 2017 | 11:12am

Trump sekat pelarian Syria ke AS

TRUMP menguatkuasakan sekatan empat bulan ke atas pelarian daripada memasuki Amerika Syarikat, selain larangan sementara kemasukan warga Syria serta beberapa negara majoriti Islam. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menguatkuasakan sekatan empat bulan ke atas pelarian daripada memasuki Amerika Syarikat, selain larangan sementara kemasukan warga Syria serta beberapa negara majoriti Islam.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melindungi rakyat AS daripada serangan pengganas.

Kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan itu dan menganggapnya sebagai diskriminasi.

"Saya menguatkuasakan langkah baharu bagi memastikan pengganas radikal Islam berada di luar AS. Saya tidak mahu mereka berada di sini," katanya di Pentagon, semalam.

"Kita hanya membenarkan mereka yang menyokong negara ini dan menyukai rakyat Amerika untuk berada di sini," katanya.

Arahan itu menggantung program pelarian Syria sehingga diberitahu kelak, dan akan memberi keutamaan kepada kumpulan keagamaan minoriti yang lari daripada hukuman.

Dalam satu wawancara bersama akhbar berita Kristian, Trump berkata, pengecualian itu akan membantu penganut Kristian dari Syria melarikan diri daripada pergolakan di negara berkenaan.

Arahan Trump itu dijangka merangkumi pengwujudan `zon selamat' bagi pelarian Syria tetapi nampaknya tidak disertakan.

Langkah itu mengehadkan kemasukan sekurang-kurangnya 90 hari bagi rakyat Syria dan negara majoriti Islam lain tetapi nama negara terbabit tidak disenaraikan.

Persatuan Peguam Imigresen Amerika berkata, ia akan menghalang kemasukan warga Iraq, Iran, Syria, Sudan, Yaman, Libya dan Somalia. - REUTERS

Berita Harian X