Sabtu, 28 Januari 2017 | 7:08pm

Bekas CEO maki wanita Islam tanpa sebab

NEW YORK: Seorang ahli perniagaan memaki hamun dan menyerang seorang wanita yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) di New
York City, selain turut mengheret nama Presiden Donald Trump dalam sumpah-seranahnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Nitrofreeze Cryogenic Solutions, Robin Rhodes, 57, dilaporkan menunggu penerbangan sebelum secara tiba-tiba
memaki hamun dan menyerang seorang pekerja wanita tanpa sebab.

Menurut pejabat Peguam Daerah Queens, Rhodes mendekati Rabeeya Khan lalu menjerit: "Kamu tidur? Kamu berdoa? Apa yang kamu lakukan?"

Maki hamunnya membabitkan Islam, Daesh dan Trump kerana Khan beragama Islam serta bertudung.

Syarikat Rhodes, Nitrofreeze Cryogenic Solutions, memadam namanya daripada laman web sebaik mengetahui kejadian itu.

Rhodes berdepan hukuman empat tahun penjara tetapi tidak diketahui sama ada akan menjalani pemeriksaan mental sebelum perbicaraan. - AGENSI

Berita Harian X