Sabtu, 28 Januari 2017 | 7:37pm

Op Selamat: Ramai pandu laju, potong barisan

TAPAH: Saman berkaitan memandu laju dan memotong barisan paling banyak direkodkan sepanjang tujuh hari Ops Selamat sejak 21 Januari lalu sempena Tahun Baharu Cina.

Daripada 129,871 saman dikeluarkan oleh polis di seluruh negara dalam tempoh itu, 49,611 adalah kesalahan memandu laju manakala 1,997 kes memotong barisan.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mahamad Khir Darus,berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 68,146 saman dikeluarkan membabitkan notis kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam rakaman kamera.

Katanya, sebanyak 26,494 saman pula dikeluarkan oleh anggota trafik manakala selebihnya saman yang ditukarkan daripada notis kesalahan kepada saman.

“Bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat, sebanyak 1,628 saman dikeluarkan manakala kesalahan menggunakan lorong kecemasan sebanyak 446 saman.

“Sepanjang perjalanan saya ke R&R (Hentian Rehat dan Rawat) Tapah dari Kuala Lumpur, pengguna tidak lagi menggunakan lorong kecemasan dan perubahan sikap tidak mementingkan diri sendiri perlu diteruskan supaya tidak membahayakan nyawa diri sendiri dan orang lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Op Selamat 10/2017 di R&R Tapah di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua JSPT negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik dan Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Mahiri Hussin.

Mahamad Khir berkata, jumlah kemalangan maut sepanjang tujuh hari operasi berkenaan dilancarkan di seluruh negara mencatatkan penuunan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 95 kes pada Op Selamat 10/2017 manakala 123 kes pada Op Selamat 8/2016.

“Daripada jumlah itu, jumlah kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 100 kematian pada tahun ini dalam tempoh tujuh hari berbanding 132 kematian dalam tempoh sama tahun lalu, yang mana menunjukkan penurunan sebanyak 24 peratus.

“Penunggang dan pembonceng motosikal terus merekodkan jumlah kematian yang tinggi tahun ini berbanding pengguna jalan raya yang lain iaitu sebanyak 59 kematian manakala jumlah kematian bagi pemandu dan penumpang kereta adalah sebanyak 25 kematian,” katanya.

Katanya, seramai 5,000 pegawai dan anggota trafik di setiap kontinjen di seluruh negara dengan dibantu 368 JSPT Bukit Aman bertugas di sepanjang dua minggu operasi berkenaan termasuk memantau 140 lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan.

Berita Harian X