Sabtu, 28 Januari 2017 | 9:51pm

Nad Zainal makin 'laku' selepas bersalin


REZEKI Nad Zainal semakin murah selepas melahirkan anak. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Selepas melahirkan anak sulung, rezeki pelakon, Nad Zainal cukup murah.

Selesai berpantang, Nad ditawarkan berlakon telefilem Dosa Perempuan bersama Mira Filzah dan Redza Rosli terbitan Zeel Production yang akan disiarkan TV3, Mac depan.

Mengisi masa terluang, Nad mengacarakan program travelog, Citarasa Malaysia bagi siaran RTM pada Ramadan. Mulai 20 Februari depan, Nad bergegas pula ke lokasi penggambaran telefilem Menanti Kiamat Tiba.

"Memang saya hendak perlahankan kerja seni demi anak. Tapi rezeki datang mencurah. Rezeki yang datang kenapa mahu ditolak...Saya bersyukur.

"Selesai penggambaran telefilem Menanti Kiamat Tiba untuk TV9, saya akan menjadi teraju utama sebuah drama mengisi slot Samarinda bertajuk Jurnal Suraya.

"Nampak gayanya, saya hanya dapat berehat pada bulan puasa. Saya tak kisah bekerja kuat. Saya kena gandakan usaha sebab sekarang hidup saya sudah bertiga," katanya kepada BH Online.

Mengenai projek telefilem Menanti Kiamat Tiba, Nad teruja berganding dengan aktor hebat iaitu Namron. Sebelum ini, mereka pernah beraksi di pentas teater.

"Namron menjadi bapa saya dalam telefilem ini. Wataknya adalah seorang penagih dadah dan saya terpaksa menanggungnya.

"Cerita ini memang sedih. Beban bertambah apabila lelaki yang dikahwini saya dalam telefilem ini juga penagih dadah. Ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut naga," kata duta produk Audella itu.

Sisi lain Nad juga ligat sebagai pengasas dan ahli perniagaan produk kecantikan, Audella. Mac ini genap setahun Nad menjalankan perniagaan produk dengan lima fungsi itu termasuk detoks, mencerahkan kulit dan menguruskan badan. Malah menerusi produk berkenaan juga Nad memastikan berat badannya turun selepas melahirkan Fahad.

"Nak kata saya bergelut nak kurus pun tidak sangat selepas melahirkan anak. Saya diet dan jaga pantang sehabis baik. Saya nak capai berat ideal 50 kilogram. Selepas mengandung berat naik sampai 63 kilogram dan saya berjaya turunkan sampai 54 kilogram. Saya pun idamkan kulit putih berseri tanpa cela, jerawat dan jeragat. Taklah sampai obses nak putih kulit.

"Menerusi produk ini juga saya nak didik masyarakat untuk mendapatkan kulit yang bersih dan bukannya nak putih dengan segera. Kulit putih itu akan datang selepas itu. Saya tak mahu putih yang pucat. Info lanjut boleh layari www.audelabeauty.com," katanya.

Berita Harian X