Ahad, 29 Januari 2017 | 12:36pm

7 pelarian Iraq, Yaman dilarang naik pesawat ke AS


KAPAL terbang EgyptAir.

KAHERAH: Pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, semalam melaporkan tujuh pelarian, masing-masing enam dari Iraq dan seorang dari Yaman, dilarang menaiki pesawat EgyptAir.

Tujuh pelarian itu yang diiringi pegawai dari Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) di New York.

Katanya, ia adalah tindakan pertama diambil pihak berkuasa lapangan terbang itu sejak larangan kemasukan pelarian dari tujuh negara majoriti Islam dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Tujuh negara Islam terbabit ialah Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Beliau berkata, tujuh pelarian itu dihalang daripada menaiki pesawat selepas pihak berkuasa lapangan terbang Kaherah menghubungi rakan mereka di JFK.

Qatar Airways turut menasihatkan penumpang dari tujuh negara itu yang menuju ke AS mendapatkan visa diplomatik atau memiliki kad hijau AS.

"Rakyat dari negara terbabit hanya boleh memasuki AS jika memegang kad pemastautin tetap (kad hijau) atau visa ditetapkan," katanya dalam kenyataan di laman web syarikat. - AGENSI

Berita Harian X