Jumaat, 19 Disember 2014 | 3:18pm
DATUK Seri Najib Razak hari ini mengumumkan bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan memperuntukkan RM72 juta untuk membangunkan kira-kira 5,000 modal insan Bumiputera tahun depan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

RM72 juta bangunkan modal insan Bumiputera tahun depan - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan memperuntukkan RM72 juta untuk membangunkan kira-kira 5,000 modal insan Bumiputera tahun depan.

Perdana menteri berkata daripada 5,000 itu, 500 merupakan pelajar yang akan menerima tanggungan biasiswa Peneraju Tunas, 3,500 biasiswa Peneraju Skil dan800 hingga 1,000 biasiswa Peneraju Profesional termasuk 500 biasiswa untuk program perakaunan.

Program perakaunan itu merangkumi program pensijilan asas seperti CAT, CFAB,CAB-CIMA dan Pensijilan Profesional seperti ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-ICAA.

"Kita (kerajaan) juga akan melihat dalam Gelombang Kedua yang merangkumi tempoh 2015 hingga 2017.

Peruntukan sedang dipohon. Kita akan beri maklum tentang program-program selanjutnya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju di sini hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu termasuk Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahayuddin, Ketua Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Dr Rahamat Bivi Yusof.

Yayasan Peneraju mula beroperasi pada Februari 2012 bertujuan untuk memenuhi aspirasi kerajaan bagi memastikan golongan Bumiputera dapat berdaya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam mencapai hasrat negara maju menjelang tahun 2020.

Ia adalah sebuah tabung amanah yang diwujudkan untuk memastikan bahawa keupayaan dan kepakaran bakat-bakat Bumiputera terus membangun untuk berdaya saing secara kompetitif di peringkat global.

Yayasan Peneraju adalah komponen di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Teraju di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata lebih 4,000 orang telah mendapat tajaan biasiswa di bawah tiga program teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional sejak yayasan itu beroperasi dan kini mengakhiri gelombang pertamanya pada akhir tahun ini.

Beliau berkata Yayasan Peneraju juga memberi tumpuan kepada pelajar yang datang daripada kumpulan keluarga berpendapatan 40 peratus ke bawah.

"Kita sedar bahawa ramai pelajar yang pencapaiannya sederhana tetapi mereka sebenarnya berpotensi tinggi kerana latar belakang keluarga yang miskin. Oleh kerana kekangan-kekangan yang ada, mereka tidak dapat merealisasikan potensi sepenuhnya.

"Jadi di sinilah peranan Yayasan Peneraju untuk melihat bagaimana kita boleh tingkatkan pencapaian mereka di peringkat sekolah menengah, peringkat kemahiran dan juga peringkat pendidikan tinggi," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Raja Azura berkata Yayasan Peneraju menyasarkan 17,000 pemegang biasiswa dalam gelombang kedua (2015-2017). "Kami akan tingkatkan program jangkauan dengan bantuan Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti lebih ramai pelajar yang mempunyai keputusan sederhana dan menggilap potensi mereka agar cemerlang dalam pendidikan," katanya.

Sejak beroperasi pada 2012, beliau berkata sebanyak 1,401 pelajar telah menerima biasiswa penuh di bawah Peneraju Tunas yang melibatkan tajaan untuk program Peneraju Tunas Geliga (program lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah memasuki sekolah menengah) dan Program Peneraju Tunas Potensi (program lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia).

Najib juga memaklumkan bahawa 27 daripada 500 pemegang biasiswa sedang dan akan melanjutkan pengajian di beberapa universiti antara 50 yang berprestij di dunia.

Bagi Peneraju Skil, beliau berkata kini sebanyak 2,249 orang telah ditaja, termasuk pelajar keciciran yang diberi latihan agar mendapat peluang pekerjaan.

Bagi Peneraju Profesional, 117 penerima biasiswa diberi peluang untuk mendapatkan pendedahan kerjaya berkualiti di firma audit bertaraf antarabangsa seperti Ernst & Young dan KPMG serta menjalani program pensijilan perakaunan antarabangsa iaitu ACCA, ICAEW dan MICPA.

"Ini adalah usaha untuk meningkatkan bilangan akauntan bertauliah Bumiputera di negara ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X