Ahad, 29 Januari 2017 | 10:35pm

4 anggota MPV cekup penyamun

SUBANG JAYA: Sepasukan empat anggota pasukan polis kereta peronda (MPV) dari balai Subang Jaya menahan dua penjenayah yang cuba melarikan diri sejurus menyamun sebuah hotel bajet di Jalan USJ 21/5 di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, dua penjenayah terbabit pada mulanya masuk ke hotel itu dan berpura-pura mahu menyewa sebuah bilik dengan seorang petugas di bahagian kaunter hadapan.

Seorang daripadanya kemudian menerpa masuk ke kaunter dan mengacukan parang panjang ke arah pekerja hotel terbabit manakala rakannya menunggu di hadapan kaunter.

Suspek kemudian melarikan wang tunai RM395 dari kaunter serta telefon bimbit mangsa sebelum bergegas keluar dan menaiki sebuah kereta jenis PROTON Waja dipandu seorang lagi suspek yang menunggu di luar hotel.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata sebuah MPV dengan dua anggota yang kebetulan sedang meronda di situ terserempak dengan suspek ketika mereka tergesa-gesa masuk ke dalam kereta PROTON Waja terbabit.

"Mereka mengambil keputusan untuk mengekori kenderaan suspek dengan dibantu sebuah lagi kereta peronda sebelum mengarahkan kereta itu berhenti.

"Bagaimanapun suspek enggan berhenti, sebaliknya memecut sehingga ke sebuah kawasan perumahan di USJ 14/1C sehinggalah pemandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah PERODUA Kenari yang diparkir di situ," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek keluar daripada kenderaan dan cuba melarikan diri tetapi dua anggota MPV bertindak mengejar dan berjaya menahan dua daripadanya selepas berlaku pergelutan. Bagaimanapun, seorang lagi berjaya meloloskan diri.

"Dua suspek yang ditahan berusia 36 dan 38 tahun, berasal dari Segambut, Kuala Lumpur dan Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan. Kami masih menjalankan semakan lanjut terhadap mereka. Pada masa sama, usaha memburu seorang lagi suspek sedang dijalankan.

"Tahniah kepada Koperal Muazan Ishak, Koperal Zubairi Ahmad, Lans Koperal Eddie Basit dan Lans Koperal Kamesan Mamat kerana melaksanakan tugas dengan cemerlang sehingga membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek," kata Mohammad Azlin.

Berita Harian X