Isnin, 30 Januari 2017 | 10:49am

MH17: Bekas komander dakwa hasil siasatan disabotaj


Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang ditugaskan menyiasat nahas itu mengumumkan pada September bahawa MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK, yang dibawa dari Russia. - Foto fail Reuters

MOSCOW: Media semalam melaporkan kegagalan pasukan penyiasat Belanda memecahkan kod maklumat yang dikumpul oleh radar Russia.

Menurut laporan itu, bekas Ketua Komander Tentera Udara Russia, Pyotr Deinekin, mendakwa ia sebagai satu sabotaj terhadap siasatan nahas penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines.

"Adakah mereka benar-benar tidak mempunyai kecekapan untuk memecahkan kod maklumat yang mendedahkan butiran terperinci yang diberikan pihak Russia?

"Itu hanya satu alasan, jika anda mahu, ia adalah satu sabotaj," kata Deinekin.

Pesawat yang membawa 298 penumpang itu terhempas pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

Tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak tempatan enggan mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu, yang berlaku ketika pertempuran sengit di wilayah berkenaan.

Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang ditugaskan menyiasat nahas itu mengumumkan pada September bahawa MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK, yang dibawa dari Russia.

Siasatan juga percaya peluru berpandu itu dilancarkan dari wilayah yang dikuasai militan Donbas.

Kementerian Pertahanan Russia menyuarakan keraguan ke atas rumusan siasatan, berkata tiada sistem peluru berpandu Russia, termasuk BUK, pernah dibawa menyeberangi sempadan Russia-Ukraine. - AGENSI

27 dibaca
Berita Harian X