Isnin, 30 Januari 2017 | 2:29pm

Kemalangan di SKVE: Seorang lagi meninggal dunia

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dan polis berada dilokasi kemalangan maut melibatkan dua kenderaan dua mangsa maut dan dua cedera di lebuhraya SKVE KM 38.6 dari Teluk Panglima Garang menghala ke Pulau Indah mangsa yang cedera dihantar ke hospital Banting. - Foto Ihsan Bomba

BANTING: Seorang lagi mangsa kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 38.6 Lebuhraya SKVE menghala ke Pulau Indah pagi tadi, meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir berkata, mangsa yang memandu kenderaan pelbagai guna itu mati ketika dirawat di Hospital Banting.

Terdahulu, dua mangsa, sepasang suami isteri, mati di tempat kejadian selepas kereta jenis Peugeot yang dinaiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna dari arah bertentangan.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna bersama isterinya menghala ke Pulau Indah dari arah Banting.

"Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai memandu laju sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, pasangan di dalam kereta Peugeot berkenaan maut di tempat kejadian manakala mangsa ketiga meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zailan berkata, isteri pemandu kenderaan pelbagai guna itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X