Isnin, 30 Januari 2017 | 7:51pm
KEADAAN kereta yang dinaiki lima termasuk dua wanita maut manakala tiga cedera selepas dua kereta terbabit dalam kemalangan di  Kilometer 16 Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Seputeh. - Foto Hsan Bomba

2 maut nahas Jalan Ipoh-Lumut dikenalpasti


KEADAAN kereta yang bertembung Jalan Ipoh - Lumut bedekatan Siputeh. - Foto Abdullah Yusof

BATU GAJAH:  Dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Ipoh-Lumut sudah dikenalpasti manakala identiti tiga lagi mangsa belum dikenalpasti. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, dua mangsa maut yang sudah dikenalpasti adalah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, iaitu penumpang hadapan kereta jenis Mercedes Benz yang juga Pengurus Kanan UMW Oil & Gas, manakala Leong Kok Chuen, 37, pemandu Toyota Vios berasal dari Ipoh. 

"Mangsa cedera yang sudah dikenalpasti adalah Radzlan Mohamed, 50, pemandu Mercedes Benz yang juga Pengurus Kanan Syarikat AAT, anaknya  Anisa Rizuana, 19, dan Azra Rhea, 13, kedua-duanya penumpang belakang. 

"Penumpang Toyota Vios yang maut dan masih belum dikenalpasti adalah wanita Cina berusia lingkungan 60-an dan 20-an serta seorang lelaki Cina berusia lingkungan 40-an," katanya ketika dihubungi hari ini. 


LAKARAN kemalangan kereta yang bertembung Jalan Ipoh - Lumut bedekatan Siputeh.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Mercedes dari arah Ipoh ke Seri Iskandar, dekat sini gagal mengelak kereta Toyota Vios dari arah bertentangan yang disyaki gagal memotong hingga memasuki laluannya dan bertembung secara berdepan.   

"Dalam kemalangan ini, pemandu dan penumpang Vios meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang penumpang meninggal dunia di Hospital Batu Gajah, manakala penumpang hadapan Mercedes meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu serta dua penumpang belakangnya cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya.

Berita Harian X