Isnin, 30 Januari 2017 | 9:07pm

Gerobok Bundle agih 5 tan pakaian terpakai percuma

ORANG ramai mengambil peluang memilih pakaian terpakai secara percuma di kedai Gerobok Bundle di Jalan Padang Behor, di Kangar. - Foto Hafizudin Mohd Safar
ORANG ramai mengambil peluang memilih pakaian terpakai secara percuma di kedai Gerobok Bundle di Jalan Padang Behor, di Kangar. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KANGAR: Sebuah kedai pakaian terpakai di Jalan Padang Behor di sini, menjadi tumpuan sempena pengagihan percuma lima tan stok koleksi pakaian kepada pengunjung, hari ini.

Gerobok Bundle milik Mohd Hayazee Ramly, 35, mengadakan pengagihan percuma pakaian terpakai dari Korea, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun selama tujuh jam, bermula 5 petang tadi.

Mohd Hayazee ketika ditemui berkata dia dan isteri, Nik Nurul Idayu Nik Mat, 33, sengaja mengagihkan stok berkenaan secara percuma sebagai menghargai sokongan pelanggan selama ini, sehingga membantu perniagaan yang diusahakannya sejak 2015 itu berkembang.

"Sudah lama saya dan isteri berhajat mengadakan program sebegini dan Alhamdulillah, hari ini ia berhasil.

"Sebelum ini memang kami jual pakaian terpakai RM1 sehelai pada setiap Jumaat dan Ahad, namun untuk hari ini kami sediakan stok bernilai tidak kurang RM10,000 untuk diberi percuma," katanya.

Mohd Hayazee yang dibantu lima pekerja di kedainya, bukan sahaja memiliki dua kedai di Perlis dan Kelantan, malah menjadi pemborong dan pembekal pakaian termasuk barangan seperti beg dan kasut terpakai di negeri ini dan kawasan utara Semenanjung.

Sementara itu seorang guru, Zamri Darus, 48, yang juga pelanggan tetap Gerobok Bundle mengaku tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir dan memilih beberapa helai pakaian terpakai untuk koleksinya.

"Saya memang ke kedai ini setiap minggu, namun hari ini sangat seronok apabila dimaklumkan pakaian diberikan percuma... pastinya saya tidak lepaskan peluang untuk mencari beberapa helai baju atau seluar untuk koleksi saya," katanya.

Berita Harian X