Isnin, 30 Januari 2017 | 9:56pm

Larangan AS jejas usaha perangi keganasan global

JURUCAKAP Kementerian Luar Indonesia, Armanatha Nasir

JAKARTA: Larangan memasuki Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan Presidennya, Donald Trump ke atas tujuh negara Islam boleh menjejaskan usaha memerangi keganasan di peringkat global.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Armanatha Nasir berkata, dasar terbaru AS itu adalah hak mutlak negara berkenaan namun ia amat dikesali kerana akan memberikan impak negatif terhadap usaha memerangi keganasan di peringkat global.

"Indonesia selaku negara Islam terbesar dunia tidak terbabit (dengan larangan itu) tetapi kami amat kesal (dengan pelaksanaannya).

"Adalah amat salah untuk kita mengaitkan keganasan dan fahaman radikal dengan mana-mana agama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armanatha berkata, usaha memerangi keganasan perlu membabitkan kerjasama menyeluruh di peringkat antarabangsa, termasuk mengenal pasti punca masalah di peringkat akar umbi.

Trump pada Jumaat lalu, menandatangani arahan eksekutif larangan memasuki AS selama 90 hari ke atas rakyat tujuh negara - Somalia, Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya dan Yaman.

Turut dilaksanakan ialah penggantungan program pelarian AS selama 120 hari, termasuk ke atas rakyat Syria. - AP

Berita Harian X