Selasa, 31 Januari 2017 | 8:27am

TPM lawat Brunei hari ini

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

BANDAR SERI BEGAWAN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Brunei, iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.

Ahmad Zahid yang dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam jam 12.30 tengah hari, mempunyai jadual yang padat sepanjang hari.

Dalam lawatan rasmi sehari itu, Ahmad Zahid dijadual mengadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman jam 2 petang ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri akan bertemu Menteri Tenaga dan Industri Negara Brunei, Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Awang Mohammad Yasmin Umar di Hotel Empire.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Awang Abu Bakar Apong di Hotel Empire, petang ini.

Pada sebelah malam, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadap Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di Istana Qashr Al-Meezan.

Beliau kemudian hadir Majlis Santapan Malam Rasmi Dihoskan oleh Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di istana berkenaan sebelum berlepas pulang.

Delegasi lawatan turut disertai pegawai dari pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Wisma Putra dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X