Selasa, 31 Januari 2017 | 11:17am

Bot karam: 350 anggota keselamatan sertai operasi SAR

SANDAKAN: Lebih 350 anggota keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Mengalum, pagi Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata pasukan keselamatan menggunakan jumlah yang maksimum dalam operasi berkenaan dan turut dibantu oleh kapal-kapal nelayan yang menjalankan aktiviti di sepanjang perairan 2,000 batu nautika persegi dari utara Pulau Labuan ke Semarang sehingga perairan negara Brunei.

Katanya, hingga jam 10 pagi tadi, mangsa belum ditemui dengan operasi SAR yang membabitkan lebih 20 aset termasuk enam pesawat bermula jam 6.30 pagi tadi.

"Ia masuk hari keempat operasi SAR dan kita berharap dengan adanya kelengkapan aset, kerjasama semua agensi dan nelayan tempatan selain cuaca yang baik, kita dapat menyelamatkan mangsa secepat mungkin.

KETUA Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar memotong riben merasmikan PSSMM di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Jumlah pesawat juga yang digunakan dalam SAR untuk membuat tinjauan udara juga bertambah iaitu daripada enam kepada tujuh iaitu pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X