Selasa, 31 Januari 2017 | 2:15pm

Guru agama Kedah terima bantuan zakat


SEBAHAGIAN guru agama dari lima daerah negeri ini mendaftar bagi menerima bantuan wang tunai melalui skim Fisabilillah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat Alor Setar, di sini hari ini. -Foto Muhammad Faiz Md Rodzi

ALOR SETAR: Seramai 1,718 orang guru agama dari lima daerah negeri ini menerima bantuan wang tunai melalui skim Fisabilillah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob, berkata sebanyak RM1,107,606 diagihkan kepada guru agama membabitkan seramai 528 guru agama dari daerah Kota Setar, 313 (Padang Terap), 208 (Yan), 479 (Pendang) dan 190 (Pokok Sena).

"Setiap penerima memperoleh bantuan bergantung kepada jumlah masjid yang diajar iaitu antara RM400 dan RM800.

"Secara keseluruhan LZNK menyumbangkan sebanyak RM3,151,200 kepada lebih 5,000 orang guru agama dari 12 daerah di seluruh negeri ini bagi membantu mereka untuk terus berusaha menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan guru agama membabitkan lima daerah di Menara Zakat Alor Setar, di sini, hari ini.

Syeikh Ghazali berkata, pihaknya merekodkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM145,509,050 pada tahun lalu, berbanding jumlah agihan sebanyak RM145,867,337.45 untuk bantuan di bawah pelbagai skim bantuan zakat.

"Biarpun, jumlah kutipan sentiasa menunjukkan peningkatan, ia masih belum mencukupi bagi menampung keperluan asnaf yang semakin bertambah hampir setiap tahun.

"Semua pihak perlu berganding bahu memberi sokongan untuk membantu LZNK meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan zakat," katanya.

Berita Harian X