Selasa, 31 Januari 2017 | 2:15pm

AADK Kedah tahan 21 penagih

JITRA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 21 lelaki dipercayai penagih dadah dalam serbuan Ops Sempadan di sekitar pekan Changlun dan Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.

Ketua Operasi AADK Kedah, Megat Rodzep Megat Teh, berkata semua lelaki berusia 19 tahun hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan yang berlangsung hampir 16 jam bermula jam 9 pagi.

Katanya, operasi disertai 30 anggota penguatkuasa AADK Kedah, Kubang Pasu dan Unit Anti Dadah Sempadan Bukit Kayu Hitam, yang bertujuan membanteras penagihan dadah di sempadan.

"Semua yang ditahan positif dadah jenis syabu, morfin dan ganja. Penagih dipercayai memperoleh bekalan melalui pengedar di sekitar utara negara ini.

"Risikan yang dilakukan juga mendapati bilangan penagih kini semakin meningkat kerana bekalan mudah diperoleh dari Thailand, terutamanya syabu yang digunakan untuk berhibur," katanya yang ditemui, di sini, hari ini.

Megat Rodzep berkata, pihaknya juga mendapati hampir semua yang ditahan pernah mempunyai rekod tangkapan dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Mereka dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk tindakan lanjut membabitkan dokumentasi," katanya.

176 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »