Selasa, 31 Januari 2017 | 3:50pm

Altimet berhenti menyanyi pada usia 40 tahun

BINTANG hip hop, Altimet. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Bintang hip hop, Altimet, berhasrat untuk berhenti daripada dunia nyanyian apabila usianya mencecah angka 40, November tahun depan.

Hampir dua dekad berada di arena seni, Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, berkata mungkin selepas persaraan, dia hanya akan menumpukan kepada ciptaan lagu.

Altimet menyambut ulang tahun kelahirannya pada 27 November setiap tahun.

"Perjuangan seni saya pun bukanlah lama. Umur pula hendak masuk 40 tahun pada November tahun hadapan, jadi rasanya saya takkan menyanyi lagi. Mungkin selepas itu saya hanya akan menghasilkan lagu.

"Mungkin juga saya akan menceburi dunia perniagaan dengan lebih serius. Selain itu, saya berhasrat untuk menyerlahkan lebih ramai bakat baharu," kata Altimet yang menegaskan tidak akan meninggalkan dunia seni, sebaliknya lebih kepada melakukan kerja di belakang tabir.

Ketika ini, Altimet dan rakan kongsi ligat mempromosikan pakaian lelaki Muslim mereka di bawah nama Benua Clothing. Jenama itu mula beroperasi pada Mei 2014.

"Jenama ini juga baru saja mendapat lamaran daripada dua pasar raya terkenal di Malaysia. Mereka berminat untuk meletakkan pakaian saya di premis masing-masing di seluruh negara. Ia langkah besar untuk saya memajukan perniagaan ini," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, beliau juga saat ini giat mempromosikan single Amboi, antara lagu dimuatkan dalam album terkininya yang menggunakan judul sama.

Menurut Altimet, lagu itu sedikit sebanyak menyentuh penangan media sosial terhadap masyarakat hari ini.

Amboi menampilkan sembilan lagu dengan liriknya ditulis sendiri penyanyi terbabit. Antara komposer yang menyumbangkan ilham karya mereka dalam album itu ialah SonaOne, Navigator, DJ Fuzz, Noh Salleh, Emir Hermono, Switch dan Fauzi Marzuki. Ia turut menampilkan artis undangan seperti The Kawan Band, Aman-Ra, Diandra Arjunaidi, Adeep Nahar dan Amir Jahari.

Berita Harian X