Selasa, 31 Januari 2017 | 3:56pm

Suami, anak arwah Anita Zuriana dipindahkan ke Subang Jaya

AHLI keluarga mangsa yang hadir mengziarahi pusara Anita Zurina Abu Zarim yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Ipoh - Lumut di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. -Foto NSTP/Faiz Anuar

IPOH: Tiga sekeluarga yang cedera dalam kemalangan mengorbankan lima yang lain di Kilometer 16 Jalan Ipoh - Lumut, Batu Gajah, dekat sini, semalam, dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya, hari ini. 

Ketiga-tiga beranak yang terselamat dalam kemalangan itu ialah pemandu kereta jenis Mercedes Benz, Radzlan Mohamed, 50 serta dua anaknya, Anisa Ridzuana, 19 dan Azra Rhea, 13.

Isteri Radzlan, Anita Zuriana Abu Zarim, 46, maut di lokasi kejadian.  

Radzlan ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB,) di sini, berkata beliau dan dua anaknya akan dipindahkan ke  hospital swasta petang ini dengan menaiki ambulans. 

Katanya, proses pemindahan sedang diuruskan kakak sulung dan adik bongsunya bagi membolehkan mereka tiga sekeluarga mendapat rawatan di Subang Jaya, sekali gus memudahkan ahli keluarga melawat.

Beliau mengakui tidak sedar kemalangan itu berlaku berikutan ia berlaku terlalu pantas. 

"Saya hanya ingat diangkat menaiki ambulans dan hanya mengetahui mengenai keadaan isteri (Anita Zuriana) ketika berada di Wad Kecemasan (HRPB)," katanya.  

Radzlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu kerana masih trauma dan kepalanya cedera akibat kemalangan itu.  

"Hendak buat macam mana, sudah.... ajal. Minta maaf ya, saya tidak boleh bercakap sebab masih pening lagi," katanya.

Berita Harian X