Selasa, 31 Januari 2017 | 5:11pm

Makan malam terakhir sebelum maut


(DARI kiri) Leong Kok Chuen, Leong Chuen Meng, Lee Fong Lan dan Leong Sook Yee. - Foto ihsan PDRM

BATU GAJAH: Makan malam sempena Tahun Baharu Cina adalah terakhir bagi keluarga Leong Chuen Meng, 67, bersama isteri dan dua anaknya sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Ipoh-Lumut semalam.  

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu, Chuen Meng bersama anak lelakinya yang memandu kereta jenis Toyota Vios, Leong Kok Chuen, 37; serta isteri, Lee Fong Lan, 61 dan anak perempuannya, Leong Sook Yee, 34, maut selepas kereta dipandu merempuh sebuah lagi kereta jenis Mercedes Benz. 

Adik Chuen Meng, Leong Ah Chye, 66, yang tiba di Unit Forensik Hospital Gajah pada jam 2.25 petang tadi berkata, keluarga abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Mewah Ipoh selepas makan malam di Sitiawan.

"Memang menjadi kebiasaan mereka sekeluarga makan malam masakan di Sitiawan untuk menyambut Tahun Baharu Cina," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Batu Gajah di sini, hari ini.

   Ah Chye berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya lima tahun lalu kerana dia dan keluarganya sudah menetap di Kuala Lumpur. 

Katanya, dia bersimpati terhadap kemalangan yang mengorbankan seluruh keluarga abangnya namun dia menerima takdir itu dengan rela hati.

Ah Chye turut memberitahu kedua-dua anak saudaranya iaitu Fong Lan dan Sook Yee yang masih belum berkahwin. 

"Kami sekeluarga belum membuat keputusan berhubung urusan pengebumian keluarga abang kerana kami perlu mengambil kira pandangan keluarga isteri abang," katanya.

Berita Harian X