Rabu, 1 Februari 2017 | 7:45am

Watford kejutkan Arsenal di Emirates

PEMAIN Arsenal, Shkodran Mustafi (tengah) berasak dengan pemain Watford, Sebastian Prodl (kiri) pada perlawanan di Stadium Emirates, pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Arsenal, Shkodran Mustafi (tengah) berasak dengan pemain Watford, Sebastian Prodl (kiri) pada perlawanan di Stadium Emirates, pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Watford memberikan tamparan hebat kepada Arsenal yang memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan mengejut 2-1 di Stadium Emirates, pagi tadi.

Jaringan awal Younes Kaboul dan Troy Deeney meletakkan Watford selesa mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum Alex Iwobi merapatkan jurang untuk Arsenal selepas rehat.

Watford bagaimanapun ditekan hebat pasukan tuan rumah pada penghujung permainan dalam usaha meraih kemenangan pertama daripada lapan aksi terakhir EPL dan memberikan Arsenal kekalahan pertama di laman sendiri pada musim ini.

Penyerang baharu Watford, M'Baye Niang, memberi impak besar ketika menghadiahkan sepakan percuma di depan kotak penalti Arsenal dan Kaboul memastikan peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menewaskan Petr Cech pada minit ke-10.

Arsenal yang masih tersentak dengan jaringan pembukaan dihukum tiga minit kemudian, kali ini menerusi gerakan Etienne Capoue yang bijak mencuri bola di kaki Aaron Ramsey untuk memaksa Cech melayangkan badan.

Namun, percubaan itu muntah di depan gawang untuk membolehkan kapten Watford, Troy Deeney mudah menolak masuk gol kedua pelawat.

Faktor nasib dilihat turut memainkan peranan dalam kedua-dua gol Watford, namun pelawat memang berhak untuk meraih kelebihan awal itu selepas banyak menguasai permainan di awal perlawanan.

Arsenal kelihatan lebih tajam pada babak kedua apabila Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain dibawa masuk menggantikan Olivier Giroud dan Ramsey, sekali gus meningkatkan 'selera' The Gunners untuk memburu gol.

Hasilnya, Iwobi menghidupkan peluang Arsenal apabila melakukan sepakan voli selepas menerima bola hantaran lintang Alexis Sanchez dan berjaya menewaskan penjaga gawang Watford, Heurolho Gomes pada minit ke-60.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal ketinggalan sembilan mata kepada pendahulu Chelsea, yang terikat 1-1 di Liverpool manakala Watford memanjat ke tangga ke-13 dengan 27 mata - AP

Berita Harian X