Rabu, 1 Februari 2017 | 3:21pm

2 budak mangsa pemerdagangan diselamatkan polis


DUA kanak-kanak terbabit ditemui bersama ibu mereka, di Taman Miharja, Cheras, semasa serbuan dijalankan oleh Polis Bukit Aman. - Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Dua beradik berusia dua dan tujuh tahun yang dipercayai mangsa pemerdagangan oleh ibu kandung mereka diselamatkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman, kelmarin. 

Dalam serbuan jam 9.15 pagi itu, sepasukan polis dari Unit Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C, menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Miharja, Cheras, di sini, hasil pemerhatian sejak seminggu lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Rusdi Mohd Isa, berkata semasa serbuan dilakukan, pihak polis menemui dua kanak-kanak itu dalam sebuah bilik yang disewa di tingkat 3 kediaman itu bersama ibunya. 

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dan adik lelakinya berusia 2 tahun yang dipercayai adalah mangsa eksploitasi. 

"Pada masa ini Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat daripada kedua-dua kanak-kanak terbabit bersama beberapa saksi," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi. 


BILIK sewa yang didiami kanak-kanak terbabit bersama ibu mereka di Taman Miharja, Cheras. - Foto PDRM

Rusdi berkata, ibu kanak-kanak terbabit yang juga seorang warga Indonesia ditahan reman selama enam hari sehingga 4 Februari ini untuk siasatan lanjut. 

"Setakat ini dua beradik terbabit diberikan perlindungan polis selama 21 hari selain dibawa untuk menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya. 

Siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007.

267 dibaca
Berita Harian X