Khamis, 2 Februari 2017 | 12:01am

Zionis sengaja mahu halang impian Palestin

Rancangan untuk membina 150 buah rumah penempatan haram Israel di Givat Zeev adalah antara yang diluluskan pada hari Selasa.
Rancangan untuk membina 150 buah rumah penempatan haram Israel di Givat Zeev adalah antara yang diluluskan pada hari Selasa.

BAITULMAQDIS: Israel memaklumkan ia akan membina 3,000 rumah baharu untuk pendatang Yahudi di tanah jajahannya di Tebing Barat dalam usaha memenuhi permintaan perumahan, menurut kementerian pertahanan negara itu.

Seorang pegawai rasmi Palestin mengutuk tindakan itu dan memberi amaran bahawa peluang kedamaian sedang dimusnahkan. Ia adalah pengumuman ketiga Israel mengenai penempatan Yahudi di tanah Palestin, sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari lalu.

Trump sebelum ini menyuarakan bahawa beliau akan lebih menyokong Israel dalam isu itu.

Pengumuman itu dilakukan ketika tentera Israel mula mengosongkan pendatang Yahudi dari penempatan haram. Beribu-ribu tentera dan polis dihantar ke Amona selepas Mahkamah Agung negara itu memerintahkan ia dikosongkan kerana dibina di atas tanah persendirian warga Palestin.

Lebih 500,000 Yahudi menetap di kira-kira 140 penempatan yang dibina mulai penjajahan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967. Penempatan itu dianggap haram mengikut undang-undang antarabangsa, namun Israel mempertikaikannya.

Terdapat juga lebih 95 penempatan haram lain, ia dibina tanpa kelulusan daripada kerajaan Israel di seluruh Tebing Barat.

Pengumuman Selasa lalu itu dilakukan selepas kelulusan terbaharu 2,500 unit kediaman di Tebing Barat dan 550 unit perumahan di Baitulmaqdis Timur.

Rata-rata komuniti antarabangsa mengutuknya, menyatakan ia menjejaskan harapan menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka. Namun, Rumah Putih tidak menyuarakan sebarang bantahan di bawah Trump.

Trump sudah berkata, beliau akan lebih bersimpati kepada pembinaan penempatan berbanding Presiden sebelumnya, Barack Obama dan sudah melantik seorang penyokong tegar pembinaan penempatan haram sebagai duta ke Israel.

Belia Palestin berkumpul untuk membantah pemindahan di Amona pada hari Rabu.
Belia Palestin berkumpul untuk membantah pemindahan di Amona pada hari Rabu.

Penyelesaian cuma harapan

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi memberi amaran lonjakan konflik penempatan haram Israel memberikan petanda kegagalan penyelesaian dua negara dalam konflik berpanjangan itu.

"Kerajaan baharu Amerika Syarikat senyap termasuk mereka yang aktif menyokong penempatan dalam Rumah Putih, ia menguatkan lagi usaha Netanyahu dalam aktiviti pembinaan penempatan Yahudi," katanya.

Ketika Obama menjadi Presiden, beliau menyifatkan polisi Netanyahu menyokong pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang dijajah hanya menjadikan penubuhan negara Palestin merdeka mustahil.

"Bibi mempercayai penyelesaian dua negara namun tindakan konsisten beliau menunjukkan wujud desakan berterusan untuk meluluskan lebih banyak penempatan walaupun penyelesaian dua negara amat penting," kata Obama merujuk kepada nama timangan Netanyahu.

Difahamkan, kira-kira 570,000 warga Israel menetap di wilayah jajahan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur. Kedua-dua wilayah ini mempunyai lebih 2.6 juta warga Palestin.

Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dalam Perang Asia Barat pada 1967. Ia kemudian menganggap Baitulmaqdis Timur sebagai sebahagian wilayahnya dan tindakan itu tidak diiktiraf komuniti dunia.

Obama berkata, selama beberapa tahun beliau dan Setiausaha Negara AS, John Kerry secara kerap membuat rayuan peribadi kepada Netanyahu supaya menghentikan aktiviti pembinaan penempatan, namun ia tidak dihiraukan.

"Situasi ketika ini menjadikan penyelesaian dua negara kian sukar dan jika ia berterusan, sebuah negara Palestin merdeka akan gagal dibentuk," katanya.

Trump mengutuk dasar pentadbiran Obama untuk Israel dan berjanji memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, ia menimbulkan kemarahan warga Palestin.

Netanyahu melihat pendatang haram Yahudi sebagai pengundi penting, beliau pernah menjamin bahawa kerajaan Israel adalah sekutu paling rapat mereka.

Berita Harian X