Khamis, 2 Februari 2017 | 12:02am

Rakaman terbaik Kesultanan Siak, kenali sejarah bangsa Melayu

NILAI 24 JANUARY 2017. Buku, Hikayat Siak. NSTP/IHSAN PEMBACAIHSAN PEMBACA
NILAI 24 JANUARY 2017. Buku, Hikayat Siak. NSTP/IHSAN PEMBACAIHSAN PEMBACA

JIKA penulisan itu satu propaganda, Hikayat Siak naskhah yang merakamkan sejarah Kesultanan Siak mungkin sudut pandangan terbaik yang mewakili kerabat Siak keturunan Minangkabau.

Bagaimanapun, apabila merujuk kepada pelbagai sumber sejarah yang lain, misalnya Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji, kita akan bertembung dengan adegan hampir sama tetapi disorot dalam sisi berbeza.

Apa pun kedudukan Hikayat Siak dalam sejarah kesusasteraan Melayu sangat penting dalam mengenali sejarah bangsa Melayu dan mitos keturunan diraja yang dikaitkan dengan Iskandar Dzulkarnain. Malah dalam kebanyakan teks sastera sejarah memang faktor itu antara yang ditekankan.

Dalam memahami Hikayat Siak atau sastera sejarah, Hikayat Siak Legasi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam yang diselenggarakan oleh Muhamad Yusoff Hashim wajar dibaca.

Naskhah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dibahagikan kepada dua bahagian sejarah dan filologi dengan bahagian pertama ialah analisis penyelenggara naskhah ini terhadap Hikayat Siak yang asal antaranya penyelidikan beliau selepas 11 tahun naskhah itu terhasil dan apa yang terjadi selepas tahun 1992 selepas naskhah yang awalnya dirawikan oleh Tengku Said, iaitu piut Raja Kecil diterbitkan secara komersial oleh DBP.

Perlu juga diketahui, naskhah asal sastera sejarah ini mungkin dikenali sebagai Hikayat Siak di kalangan pembaca dan pengkaji di Nusantara tetapi ia dinamakan sebagai Sejarah Raja-Raja Melayu dan Hikayat Raja Akil di Barat.

Bahagian filologi naskhah ini juga tidak kurang menariknya apabila ia memperincikan beberapa perkara penting dalam Hikayat Siak antaranya Tengku Akil yang terbuang dari Kesultanan Siak tetapi akhirnya membina prestijnya sendiri di Borneo sebelum berbaik-baik dengan kuasa Barat.

Seperti kebanyakan manuskrip Melayu lama, naskhah asal Hikayat Siak tiada di negara ini, sebaliknya tersimpan di Muzium Pusat Jakarta, manakala sebuah lagi dihadiahkan oleh orientalis Barat, RO Winstead kepada Perpustakaan Leiden di Belanda dan dua salinan lagi milik perpustakaan Universiti Bibliotheek, Leiden.

Justeru, naskhah Hikayat Siak Legasi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam adalah permulaan yang cukup baik untuk pengkaji dan pembaca memahami naskhah asalnya.

INFO: Hikayat Siak Legasi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam
Penyelenggara: Muhammad Yusoff Hashim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Halaman: 579.

Penilaian: 5

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X