Khamis, 2 Februari 2017 | 12:03am

Rezeki pemandu muda

KUALA LUMPUR: Kewujudan perkhidmatan menghantar penumpang membabitkan aplikasi dalam talian, turut menarik minat mahasiswa untuk mencari pendapatan sampingan tanpa perlu terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Ditambah pula keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang tinggi sepanjang pengajian, menyebabkan mahasiswa ini mengambil inisiatif mencari wang semata-mata tidak mahu membebankan ibu bapa.

Bukan saja lelaki, malah penuntut wanita tidak mahu melepaskan peluang sebagai generasi yang berdikari, gigih dan berani menyahut realiti kehidupan serba mencabar itu.

Pelajar Diploma Sains Komputer, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka Pahang, Nurshazween Mohd Nafiah, 23, antara yang menjalankan perkhidmatan berkenaan sejak sebulan lalu.


Pelajar, Mohamad Azrie Hazif Mohamed Noor pemandu 'Grab Car' separuh masa. - Foto NSTP/ Aziah Azmee

Beliau yang menggemari aktiviti lasak mengaku, sanggup bersusah payah di atas jalan raya bagi melaksanakan tugas menghantar penumpang ke destinasi dikehendaki, pada masa yang sama mengutamakan aspek keselamatan.

"Alhamdulillah setakat ini, saya dapat mengumpulkan duit poket antara RM200 hingga RM300 sebulan, sekali gus membantu menampung perbelanjaan harian," katanya.

Teguran bakar semangat

Nurshazween berkata, selain menjana pendapatan sampingan, pekerjaan itu memberikannya banyak pengalaman berharga.

"Saya pernah ditegur kerana lewat tiba di destinasi dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk lebih berdisiplin serta menepati masa," katanya yang mendapat sokongan bapanya, seorang pemandu teksi.


Muhammad Ashraff Mohd Adzeman. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Bagi Muhammad Ashraff Mohd Adzeman, 24, berkata kegagalan mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa, menyebabkannya terbabit di dalam perkhidmatan menghantar penumpang.

"Memang perit apabila kita gagal memperoleh sebarang bantuan kewangan dan dengan adanya perkhidmatan ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang dihadapi," katanya.

Muhammad Ashraff yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata beliau berjinak-jinak menceburi perkhidmatan berkenaan pada awal bulan lalu ketika cuti semester.

Belajar selok-belok jalan

"Amat menyeronokkan dalam tempoh empat hari saya meraih lebih RM400 dan paling penting kena rajin berusaha. Bekerja sendiri dan saya melakukannya ketika tidak terlalu sibuk," katanya.


Pelajar, Mohamad Azrie Hazif Mohamed Noor mengambil penumpang di sekitar Kepong. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, Mohamad Azrie Hazif Mohamed Noor, 25, berkata pendapatan yang lumayan menyebabkan beliau tidak mahu melepaskan peluang keemasan berkenaan.

"Saya mula membawa penumpang sejak Ogos 2015 dan pada awalnya hanya secara sambilan. Namun, apabila meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, saya menjadikannya sebagai tetap.

Menurut mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, UiTM Shah Alam itu, di awal pembabitannya sering ditegur pelanggan apabila lewat tiba di destinasi.

"Teguran itu itu mendidik saya menjadi lebih sabar dan terus berusaha akan jalan-jalan sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, bekerja sambil belajar bukanlah penghalang untuk berjaya, sebaliknya bergantung kepada mahasiswa itu sendiri untuk membahagikan masa dengan bijak dan seimbang.


Muhammad Syamim Mohd Said. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Dimarahi pelanggan

Pelajar Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Kelantan, Muhammad Syamim Mohd Said, 20, pula menjalankan perkhidmatan itu sejak lebih sebulan lalu dan tidak ketinggalan berdepan pelbagai kerenah pelanggan.

"Saya pernah dimarah dengan perkataan kurang enak oleh pelanggan gara-gara terlewat tujuh minit. Bagi saya, pengalaman itu menjadikan diri kita lebih bersabar dan menepati masa.

"Alhamdulillah dalam tempoh sebulan, saya berjaya menanganinya dan paling gembira apabila dapat mengumpul pendapatan lebih RM1,500," katanya.

Muhammad Syamim melakukan kerja sampingan berkenaan setiap kali pulang bercuti ke rumah keluarga di ibu kota.

114 dibaca
Pelajar, Mohamad Azrie Hazif Mohamed Noor pemandu 'Grab Car' separuh masa. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X