Khamis, 2 Februari 2017 | 12:21am

Usah buat spekulasi isu Annuar, MARA, PMB

JEMAAH mengaminkan doa selepas solat Hajat perdana untuk Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang kini berada di Auckland, New Zealand yang dibaca bekas Imam Masjid Belukar Luas, Ketereh, Mutalib Idris anjuran Pusat Khidmat Amal Dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (KHADAM) di Dewan Tun Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi.

KOTA BHARU: Semua pihak diminta bertenang dan mengambil tindakan bijak dalam menghadapi isu Tan Sri Annuar Musa diminta bercuti sementara sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata keputusan itu adalah dalam bidang kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKKW) bagi menentukan kedudukan Annuar.

 

Sehubungan itu, katanya, semua pihak sepatutnya menunggu siasatan yang akan dijalankan dan bukan membuat spekulasi atau andaian sendiri.

"Jangan membuat spekulasi dan isu itu tidak membabitkan parti dan politik Annuar. Ia adalah isu bola sepak, takkan kerana bola negara kena hancur.

"Isu ini (kerana ada) orang buat tuduhan, (kena) siasat dan bersih nama," katanya ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat Perdana, di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, di sini, malam ini.

Solat hajat itu diadakan berikutan isu Annuar diminta bercuti sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi PMB, semalam. Lebih 500 ahli UMNO dan Jawatankuasa Masyarakat Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (KHADAM) menyertai solat hajat yang diimamkan Penggerak Masyarakat KHADAM, Haji Mutalib Idris selepas solat Maghrib dan Isyak.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga hari ini menyatakan yang mengekalkan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO.

Sementara itu, Annuar yang kini berada di Auckland, New Zealand meluahkan rasa terharu dengan penganjuran solat hajat berkenaan.

Katanya, isu bola sepak Kelantan mengheret beliau sehingga diminta bercuti sementara di dalam MARA, namun beliau bersyukur dan bangga dengan apa yang dilakukannya untuk Kelantan dan pasukan The Red Warriors (TRW).

"Untuk ramai bergembira sudah tentu harus ada satu yang terpaksa menderita, setakat yang saya tahu segalanya dilakukan secara jujur mengikut jalur peraturan dan undang-undang.

"Kerana itulah pesan saya pada diri saya, MARA, KAFA, Penerangan (UMNO) dan Parlimen Ketereh, saya junjung amanah sedaya mungkin saya.

"Saya pertaruhkan nyawa dan maruah diri saya untuknya (KAFA dan MARA), Insya-Allah, Wamakaru Wamakarallah Wallahukhairul Maakiriin, " katanya di laman rasmi Facebook beliau, Tan Sri Annuar Musa, hari ini.

Berita Harian X