Khamis, 2 Februari 2017 | 10:34am

Google jenama paling bernilai di dunia


Google muncul jenama paling bernilai di dunia. - Foto AP

LONDON: Google muncul jenama paling bernilai di dunia, sekali gus mengatasi kedudukan Apple dalam senarai ranking terbaharu Global Brand.

Nilai jenama Google meningkat sebanyak 24 peratus kepada AS$109.4 bilion (RM484.64 bilion) tahun lalu, berbanding AS$88 bilion (RM390.41 bilion) manakala nilai jenama Apple merosot daripada AS$145.9 bilion (RM647.29 bilion) kepada AS$107.1 bilion (RM475.15 bilion), menurut laporan Brand Finance Global 500

Kali terakhir Google menduduki jenama paling bernilai di dunia adalah pada 2011.

Syarikat itu kekal tidak dicabar dalam perniagaan carian terasnya, iaitu sumber pendapatan utama pengiklanan.

Pendapatan iklan meningkat 20 peratus pada 2016, apabila bajet semakin terarah kepada dalam talian dan Google menemui pelbagai kaedah lebih inovatif untuk menjana hasil daripada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Brand Finance, David Haigh, berkata: "Apple berdepan masalah untuk mengekalkan kelebihan teknologinya, dengan pengeluaran berulang kali iPhone menyebabkan pulangannya berkurangan, manakala pasaran China kini dilambakkan dengan pesaing domestik.

"Apple berada dalam kedudukan sebagai peneraju selama beberapa tahun dengan mengeksploitasi ekuiti jenama secara terkumpul. Ini mencerminkan salah satu daripada banyak manfaat jenama yang kukuh, tetapi Apple sudah terlalu lama bergantung kepadanya."

Setiap tahun, perunding nilai dan strategi, Brand Finance membuat penilaian ke atas ribuan jenama syarikat terbesar dunia.

Jenama pertama sekali dinilai untuk menentukan kuasa dan kekuatan (berdasarkan faktor seperti pelaburan pemasaran, mudah dikenali, kesetiaan, kepuasan kakitangan dan reputasi korporat).

Kekuatan jenama digunakan untuk menentukan bahagian pendapatan perniagaan yang disumbangkan oleh jenama, sebelum diunjur untuk menentukan nilai jenama itu.

Keputusan analisis diberikan ranking, dengan 500 jenama paling bernilai di dunia ditampilkan di dalam senarai Brand Finance Global 500.

Lego mengekalkan status sebagai jenama paling berkuasa di dunia. Jenama permainan blok binaan itu sentiasa kukuh, namun penerbitan Lego Movie pada 2014 memberikannya lonjakan akhir untuk menjadikan Lego jenama paling berkuasa pada 2015.

Sekuel pertamanya, Lego Batman Movie akan dikeluarkan pada 9 Februari ini.

Ramalan impaknya membantu Lego mengekalkan kedudukan teratasnya yang sebelum ini dirampas oleh Disney tahun lalu.

Laporan Brand Finance Global 500 2017 juga mendapati:

* Jenama bank China kini lebih bernilai daripada bank di Amerika Syarikat (AS)

* ICBC adalah jenama perbankan paling bernilai di dunia

*AT&T mengatasi Verizon untuk menjadi jenama telekomunikasi paling bernilai di dunia

* Emirates bukan lagi jenama penerbangan paling bernilai, diatasi oleh American, United & Delta

* Nokia kembali semula ke 500 tempat teratas, susulan penjenamaan semula Alcatel dan pelancaran Nokia 6

Berita Harian X