Khamis, 2 Februari 2017 | 1:26pm

PRK Tanjong Datu: 8 set borang pencalonan dibeli

KUCHING: Sebanyak lapan set borang pencalonan sudah dibeli oleh wakil bakal calon yang berhasrat bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, setakat ini.

Difahamkan, tiga daripada borang pencalonan itu dibeli oleh wakil dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) Sarawak di kawasan itu.

PENGARAH SPR negeri, Datuk Takun Sunggah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pengarah SPR negeri, Datuk Takun Sunggah bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mendedahkan parti politik mana yang menghantar wakil untuk membeli borang pencalonan itu dari pejabat SPR di Jalan Simpang Tiga di sini.

"Kami tidak dapat memberitahu pihak parti mana atau calon Bebas yang membeli borang pencalonan itu," kata Takun ketika ditemui di Ibu Pejabat SPR Negeri di sini hari ini.

Takun berkata, seramai 250 petugas SPR akan terbabit untuk memastikan proses penamaan calon PRK Tanjong Datu berjalan lancar Sabtu ini.

Kehadiran wakil calon yang akan bertanding membeli borang pencalonan itu memberi gambaran awal, BN akan menghadapi tentangan parti pembangkang atau calon Bebas pada PRK yang dijadual diadakan pada 18 Februari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengumumkan Puan Sri Jamilah Anu, akan mewakili BN mempertahankan kerusi berkenaan yang disandang suaminya , Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sejak 2006.

KAKITANGAN SPR, Florence Zacclin (kiri) dan Anna Mohamed mengemaskini peralatan serta kelengkapan untuk PRK Tanjong Datu. - Foto Nadim Bokhari

Berita Harian X