Khamis, 2 Februari 2017 | 2:14pm

TCEC promosi keselamatan pemanduan


Pemilik kenderaan Renault yang menyertai acara 'Pengalaman Pemanduan Renault'.

TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, baru-baru ini menganjurkan acara 'Pengalaman Pemanduan Renault' yang bermatlamat mempromosikan aspek keselamatan jalan raya, selain meningkatkan pengalaman pemilikan bagi pemilik kenderaan Renault di Malaysia.

Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, acara itu adalah lanjutan kepada acara Renault Track Day yang sudah dianjurkan beberapa kali setahun sejak tahun 2010.

Direka untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat pemilik jentera Renault Sport, sesi trek berkelajuan tinggi itu menawarkan peminat sukan bermotor peluang untuk menajamkan kemahiran pemanduan masing-masing dalam persekitaran yang terkawal.

Ia juga bagi mengeratkan lagi hubungan dalam peminat kereta jenamaan berkenaan.

Ingin meningkatkan kesedaran dan menyampaikan kemahiran praktikal bagi pemanduan lebih selamat, TCEC buat pertama kalinya menganjurkan kursus pemanduan defensif untuk pemilik Renault Captur dan Fluence.

"Kami mahu melengkapkan pelanggan dengan beberapa kemahiran pemanduan defensif yang penting. Banyak kemalangan boleh dielakkan jika pemandu lebih bersedia untuk memberi maklum balas ke atas pelbagai keadaan dan kondisi di atas jalan raya," kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen.

Kim Luen berkata, kursus pemanduan defensif bertujuan membantu meningkatkan kesedaran mengenai amalan serta teknik memandu yang selamat.


Tingkatkan pengalaman pemilikan.

Program Pengalaman Pemanduan Defensif Renault Renault dimulakan dengan teori mengenai pentingnya mempunyai jarak pandangan yang jelas, menerusi mengkaji laluan di hadapan dan memahami masalah oversteering dan understeering.

Peserta juga diajar mengenai pentingnya menggunakan lampu isyarat membelok dan semua penumpang perlu memakai tali pinggang keledar, tips memandu di lebuh raya ketika hujan, tidak memasang lampu kecemasan ketika hujan lebat serta banyak lagi.

Seramai 30 orang pemilik kenderaan Renault mengambil bahagian dalam kursus pemanduan defensif yang dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama pada waktu pagi dan sesi kedua pada sebelah petang.

Sementara 25 orang pemilik jentera Renault Sport pula menghadiri sesi di litar untuk menguji kemahiran dan prestasi kereta. Mereka perlu menamatkan sebanyak mungkin pusingan di litar dalam tempoh empat jam yang ditetapkan untuk sesi pada waktu pagi itu.

Sepanjang sesi berkenaan, mereka yang memandu model Megane R.S., Clio R.S. dan beberapa Megane R.S. 275 Trophy R sentiasa memeriksa catatan masa yang berjaya dilakukan. Bukan sekadar untuk melihat prestasi pemandu lain, malah untuk memadamkan rekod sendiri sebelum ini.

Info:
Renault Driving Experience

  • Disertai 30 pemilik kenderaan Renault
  • 25 daripadanya adalah pemilik Renault Sport
Berita Harian X