Khamis, 2 Februari 2017 | 2:17pm

2 warga Nigeria terlepas tali gantung

JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Nigeria dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 678.2 gram pada tahun 2013.

Hakim Collin Lawrence Sequerrah membuat keputusan itu terhadap Arinze Alex Ugenyt, 29, dan Ifeanyi Kingsley Chukwuka, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, mahkamah membuat keputusan selepas meneliti keterangan saksi dan hujah pendakwaan serta pembelaan, kedua-dua tertuduh gagal dikaitkan dengan dadah yang ditemui seperti pendakwaan, sekali gus menganggap tiada pengedaran dadah berlaku.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua warga asing itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 678.2 gram methamphetamine, di hadapan sebuah hotel di Jalan Kebun Teh, dekat, kira-kira jam 7.15 pagi pada 2 Disember 2013.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala tertuduh pertama diwakili oleh peguam, M Vinodharan dan tertuduh kedua diwakili oleh Afifuddin Ahmad Hafifi.

Berita Harian X