Khamis, 2 Februari 2017 | 3:45pm

Fae Ratna Reanti Saragih ditinggalkan di HKL

BAYI lelaki berusia dua bulan dinamakan Fae Ratna Reanti Saragih ditinggalkan di HKL. Foto ihsan JKM.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur mencari waris seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang ditinggalkan ibunya di Hospital Kuala Lumpur, selepas dilahirkan pada 9 November lalu.

Bayi yang diberi nama Fae Ratna Reanti Saragih itu dilaporkan ditinggalkan ibunya yang dipercayai warga negara Indonesia selepas lapan hari berada di wad sebelum dia didapati menghilangkan diri.

Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Liah Pariuk, berkata ibu bayi berkenaan dipercayai bertindak demikian kerana masalah kewangan dan tidak mampu membayar bil hospital.

"Selepas pihak hospital tidak dapat menghubungi ibu kandungnya, Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur memerintahkan supaya bayi itu diletakkan sementara di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras untuk tempoh sebulan.

"Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan usaha mengesan ibu bapa kandung dilakukan. Justeru kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali warisnya untuk berhubung dengan pegawai Pelindung, Nor Suhaida Umar di talian 03-26124000 atau 03-26124037," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian X