Khamis, 2 Februari 2017 | 3:51pm

Wanita didakwa tipu 3 ahli perniagaan


NORROKIAH Ishak dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah atas tujuh tuduhan menipu beberapa individu berhubung tempahan barangan membabitkan kerugian melebihi RM250,000 tahun lalu. - Foto Abdullah Yusof

BATU GAJAH: Seorang wanita berusia 65 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh tuduhan menipu tiga ahli perniagaan membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM250,000 tahun lalu.

Tertuduh, Norrokiah Ishak, dari Lektar Resort, Bukit Merah, Semanggol, Taiping, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Bagi tiga pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya Mahfuz Opir dan tidak membayar baki jumlah keseluruhan sebanyak RM62,708.80 ke atas daging sejuk beku yang dibekalkan kepadanya di Syarikat Boon Foong Trading di sini.

Tiga kesalahan itu masing-masing dilakukan pada jam 8.30 malam pada 7 Disember 2016, jam 1 tengah hari keesokannya dan jam 5.30 petang 10 Disember 2016.

Bagi pertuduhan keempat, kelima dan keenam, dia didakwa melakukan kesalahan sama ke atas Yusof Othman membabitkan perbekalan daging sejuk beku dan ayam kampung dengan jumlah bayaran melalui cek yang keseluruhannya berjumlah RM178,689.

Kesalahan itu dilakukan di Stor Sejuk Beku No 223 dan 221 Jalan Pusing di sini pada 23 dan 26 Februari serta 1 Mac tahun yang sama.

Tuduhan terakhir, Norrokiah didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Ahmad Rushdan Abdul Razak membabitkan bekalan pek burung puyuh sejuk beku bernilai RM9,700 pada jam 10 malam di premis perniagaan di No 233, Jalan Pusing di sini pada 12 Februari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman antara setahun hingga 10 tahun penjara dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Mohd Fitri menetapkan kes disebut semula pada 6 Mac ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin bagi setiap pertuduhan atau jaminan keseluruhan RM21,000 bagi semua pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan dan memaklumkan tertuduh mempunyai 10 rekod lampau kesalahan mengikut seksyen sama antara 1998 dan 2001 dengan lima daripadanya sudah pun dijatuhi hukuman, manakala beberapa lagi kes yang akan diputuskan untuk pendakwaan.

Tertuduh diwakili Mohd Aidil Arshad.

2979 dibaca
Berita Harian X