Khamis, 2 Februari 2017 | 9:28pm

KLHC tak rela cicir mata lagi

PEMAIN TNB, Luqman Nul Haqim (kanan) mengasak pemain KLHC, Syamim Mohd Yusof pada perlawanan liga Premier TNB MHL di Stadium Hoki Pantai pada 25 Januari lalu. - Foto Osman Adnan
PEMAIN TNB, Luqman Nul Haqim (kanan) mengasak pemain KLHC, Syamim Mohd Yusof pada perlawanan liga Premier TNB MHL di Stadium Hoki Pantai pada 25 Januari lalu. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tidak rela tercicir mata lagi apabila turun melayan kunjungan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada perlawanan Liga Perdana TNB di Stadium Pantai, esok.

Ia selepas pasukan gergasi itu sekadar seri 2-2 ketika bertemu TNB minggu lalu, sekali gus menjejaskan misi untuk mengejar pendahulu liga, Pasukan Hoki Terengganu (THT).

KLHC kini menduduki tangga kedua liga di belakang THT, apabila mengumpul 14 mata daripada enam perlawanan, ketinggalan dua mata di belakang seteru utama itu.

Ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al Rashid Samri berkata, keputusan seri itu sememangnya memberi impak besar kepada anak buahnya.

"Kami terima keputusan itu tetapi secara jujur ia jelas menjejaskan kami untuk mengekori rapat THT. Apapun, kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya bertemu SSTMI," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Harun berkata, walaupun SSTMI adalah pendatang baharu Liga Perdana, dia tetap tidak mahu anak buahnya memandang rendah kekuatan lawan itu.

"SSTMI sama seperti TNB atau TNB Thunderbolts, mereka sering memberikan masalah. Pasukan seperti ini mempunyai corak permainan yang pantas serta kemahiran tinggi. Kami harus berwaspada dengan SSTMI," katanya.

Antara perlawanan tumpuan lain adalah membabitkan THT yang melayan kunjungan TNB di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu, esok.

Jadual Liga Perdana TNB

Esok

THT mln TNB, 5 ptg

(Std Hoki Batu Buruk,Terengganu)

Maybank mln UniKL, 6 ptg

(Std Hoki Bukit Serindit, Melaka)

UiTM-KPT mln TNB Thunderbolts, 6 ptg

(Std Tun Razak, Kuala Lumpur)

KLHC lwn SSTMI, 6 ptg

(Std Hoki Pantai, Kuala Lumpur)

Berita Harian X