Khamis, 2 Februari 2017 | 10:38pm

Uzma sertai Perjanjian Projek Industri Bersama PETRONAS


Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kanan) dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Solution Uzma Engineering Sdn Bhd, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed (kiri) pada sesi pertukaran dokumen semasa Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON2016 ) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Uzma Bhd akan menyertai Perjanjian Projek Industri Bersama (JIP) PETRONAS yang pertama bagi membangunkan aliran dan kaedah kerja terbaik bagi melaksanakan projek perolehan minyak dipertingkat karbon dioksida (CO2 EOR).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Uzma berkata kerjasama JIP dengan Heriot-Watt University, Petronas Research Sdn Bhd dan Institute of Technology Petronas Sdn Bhd menandakan usaha sama pertama berskala besar secara rasmi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang baharu.

Projek R&D itu akan diketuai oleh Professor Kenneth Sorbie yang terkenal dari Heriot-Watt University dan disokong oleh sekumpulan penyelidiknya dari universiti itu, manakala Petronas Research serta Uzma menjadi peserta tunggal dari industri minyak dan gas Malaysia.

Uzma berkata, kajian itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang dan projek itu memfokus pada mengurangkan ketidakpastian yang mempengaruhi ramalan perolehan hidrokarbon, serta, menyokong kajian simulasi menerusi pemerolehan data fizikal penting.

Apabila selesai, keputusan, pembelajaran dan kaedah yang diperoleh akan digunakan dalam senario lapangan sebenar mengguna data yang dibekalkan oleh Uzma dan PETRONAS.

Ketua Pegawai Eksekutif Uzma, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed, berkata syarikat berbangga menjadi sebahagian daripada JIP kerana kerjasama itu akan memberi laluan bagi pembangunan teknologi EOR yang baharu untuk terus meningkatkan kadar perolehan kawasan yang dibangunkan semula.

"Hasil penyelidikan itu akan memberi maklumat yang lebih baik mengenai kaedah yang dipertingkatkan kepada para penggiat industri O&G bagi pemodelan suntikan CO2 bagi projek EOR pada masa hadapan, di rantau ini dan di seluruh dunia.

"Kami di Uzma sering memberi tumpuan pada R&D bagi teknologi baru dengan penggunaan dalam dunia sebenar, contohnya, penyelesaian uzmAPRES kami yang sangat berjaya dalam mempertingkatkan kadar perolehan takungan lama, " katanya.

BERNAMA

Berita Harian X